Rejimen 504 Askar Wataniah dari Perlis menjadi tuan rumah Pertandingan Sukan Antara Rejimen Siri 500 Askar Wataniah (AW) Zon Utara Tahun 2025 bagi bola tampar yang dijuarai oleh rejimen tersebut sendiri dan bolasepak pula dimenangi oleh Rejimen 513 AW dari Kedah.
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji; Timbalan Komander Rejimen 513 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Kamarulrazaimi Abd Razak; dan Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zunaidi Atimin.
Hadir sama ialah Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli.
Pertandingan yang diadakan di Kem Bukit Keteri itu berlangsung selama tujuh hari.
Sebelum separuh masa kedua perlawanan akhir bolasepak bermula, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik sepak mula.
Sejurus tamat perlawanan akhir bolasepak, Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa untuk sesi berfoto kenangan bersama para peserta yang hadir.
Pertandingan Sukan Antara Rejimen Siri 500 AW Zon Utara ini bukan sahaja menjadi platform untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan semangat berpasukan dalam kalangan anggota AW, malah turut mempereratkan lagi hubungan silaturahim antara warga Askar Wataniah di peringkat zon dan seterusnya seluruh negara.