KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar para bakal haji sentiasa menzahirkan rasa syukur atas peluang menjadi tetamu Allah, serta melaksanakan ibadat haji dengan sebaik-baiknya, penuh keikhlasan dan tawaduk.
Baginda turut mengingatkan bahawa peluang menunaikan ibadat haji adalah satu anugerah yang amat berharga dan hanya datang sekali dalam seumur hidup bahi kebanyakan orang. Justeru itu, para jemaah diseru agar sentiasa memelihara adab dan menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan kesempurnaan ibadat suci tersebut.
“Saya turut berharap agar para bakal jemaah dapat mengamalkan sebaik mungkin segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang mengikuti kursus-kursus haji anjuran Tabung Haji. Janganlah berasa ‘segan’ untuk bertanya kepada para Pembimbing Ibadat Haji sekiranya masih terdapat perkara yang kurang difahami”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Perlis Musim 1446 Hijrah dan Tahun 2025 Masehi di Dewan Ibn Khaldun, Institut Kemahiran Mara, Beseri.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Datuk Mohamad Mokhzani Mokhtar, Pengarah Tabung Haji Wilayah Utara.
Kursus Perdana Haji peringkat Negeri Perlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tabung Haji dalam memastikan para jemaah mendapat ilmu dan bimbingan secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci yang melibatkan seramai 314 orang jemaah bakal Haji daripada Perlis setakat 19 April 2025 untuk tahun ini. 122 adalah jemaah kelaki dan 192 lagi jemaah wanita manakala 259 Jemaah menggunakan perkhidmatan Muassasah ( Masyariq): dan 55 jemaah lagi swasta.
Datuk Mohamad Mokhzani dalam ucapan aluannya menyatakan, Tabung Haji sentiasa komited untuk menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia. Komitmen ini terbukti dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh Tabung Haji yang sentiasa mencapai standard bertaraf dunia malah menjadi contoh bagi negara-negara Islam lain.
Kursus Perdana Haji ini lebih fokus kepada praktikal manasik haji yang bakal dilalui oleh setiap jemaah haji. Justeru beliau berharap agar para jemaah memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang kursus, agar ibadat haji di Tanah Suci nanti dapat dilaksanakan dengan sempurna.