KANGAR, 11 Mei 2020 – Di saat negara sedang berhadapan dengan ‘Musuh yang luar biasa, tidak boleh dilihat, tidak mempunyai warna dan tidak boleh dirasa’ iaitu penularan Covid-19, pengawalan perairan dan juga sempadan negara masih perlu diperkasakan malah diperketatkan lagi bagi mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan dan memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
Semua anggota pasukan keselamatan dan agensi-agensi berwajib di sempadan negara yang lain juga dipohon supaya terus menerus mempertingkatkan lagi kawalan dengan penuh berdisplin, cekal dan berintegriti. Pada masa yang sama marilah kita semua sebagai rakyat mendoakan keselamatan dan tidak sekali-kali lupa menghargai jasa mereka yang bertugas di perbatasan yang terus kekal menjadi ‘barisan hadapan’ negara pada sebilang masa.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail apabila dipohon mengulas mengenai keberangkatan baginda mengetuai Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang kini diberi nama ‘Eksesais PERBAH’ ke kawasan operasi keselamatan negara di perairan antarabangsa di timur Sabah saban tahun di bulan Ramadan yang terpaksa dibatalkan pada tahun ini akibat wabak berkenaan.
Pada asalnya segala persiapan rapi telah dibuat untuk baginda dan delegasi Perlis berangkat ke sana pada hujung minggu ini iaitu dari 7-10 Mei 2020.
Menurut Penyelaras program, Datuk Zull Aznam Haron, Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah sememangnya dikenali semua kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia sebagai seorang putera raja pewaris takhta yang berjiwa besar dan amat prihatin terhadap pasukan keselamatan dengan mengetuai siri lawatan ke perbatasan tersebut sejak 16 tahun yang lalu diiringi kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan kerajaan serta ahli koperat tanpa mengira penat dan haus di badai ombak bagi menyantuni para pegawai dan anggota bertanya khabar, memberi titah perangsang dan mengurniakan sumbangan kepada mereka yang sedang beroperasi nun jauh daripada ahli keluarga dan sahabat handai untuk tempoh beberapa bulan.
Selain itu, klinik kesihatan, masjid, sekolah dan juga kampung-kampung di kawasan pedalaman turut diziarahi untuk beramah mesra dengan rakyat setempat sambil mengagihkan buah tangan ramadan dan aidilfitri tanda silatulrahim.
Tarikh kemaskini: 4/24/2025