ARAU, 28 April – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan menerima menghadap Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Arau, semalam.
Turut berkenan berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam sesi itu, Jeneral Datuk Malek menyembah maklum mengenai tahap kesiapsiagaan dan keupayaan operasi semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mendepani cabaran keselamatan global yang semakin kompleks.
Pada masa sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan titah agar seluruh warga ATM sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme, integriti dan kredibiliti yang tinggi dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan negara.
Baginda menegaskan nilai-nilai tersebut penting untuk memastikan ATM terus kekal sebagai benteng pertahanan negara dan perisai kedaulatan watan.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan, serta Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia