ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menegaskan komitmennya dalam memperkukuhkan peranan institusi ini melewati tahun 2030, dengan mengambil kira perkembangan semasa termasuk perubahan landskap politik serta ekonomi tempatan dan juga dunia serta juga kemajuan teknologi seperti digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Dengan pelan strategik yang bakal dirangka bagi melewati tahun 2030, MAIPs terus komited dalam memastikan agenda kebajikan dan pembangunan Islam di Perlis bergerak seiring dengan perkembangan semasa, selaras dengan motonya, “Menjunjung Syiar Memaju Ummah”.
Demikitan titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli yang berlangsung di sekitar Bandar Diraja Arau baru-baru ini.
Sempena program kayuhan tersebut, tiga keluarga asnaf terpilih menerima sumbangan daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Mereka ialah Shahiran Saad, 60, dari Kampung Titi Besi, Kamal Ruzaman Ismail, 45, dari Kampung Banat, dan Shazali Che Hassan, 67, dari Kampung Kurung Anai.
Sumbangan itu disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra, merangkumi wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah.