KUALA PERLIS: Gabenor Wilayah Tashkent, Uzbekistan, Mirzaev Zoir Toirovich, melahirkan rasa kagum terhadap inisiatif Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Program ini disifatkan sebagai satu pendekatan inovatif yang membuka perspektif baharu dalam usaha menyantuni serta menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di negeri Perlis.
Pengalaman menyertai kayuhan ke kawasan-kawasan kampung sambil menyampaikan bantuan yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, meninggalkan kesan yang mendalam serta memberikan pengalaman unik kepada para delegasi dari Uzbekistan.
“Pada awalnya, kami sedikit ragu dan tertanya-tanya tentang konsep kayuhan ini. Namun, selepas tamat program, kami sangat terpesona dengan keindahan negeri Perlis, kreativiti MAIPs dalam membantu golongan asnaf, serta keunikan dan keindahan Kampung Nelayan Warna-Warni,” ujar Gabenor Mirzaev.
Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Karomidin Gadoev pula turut berkongsi pandangan bahawa delegasinya meneliti pendekatan yang diambil oleh MAIPs dan berhasrat untuk menjadikannya sebagai panduan serta melaksanakan konsep serupa di Uzbekistan.
Beliau menambah bahawa kayuhan amal ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman mereka, malah memberikan banyak ilmu serta menjadi inspirasi kepada seluruh delegasi.
Delegasi Uzbekistan juga amat teruja melihat keindahan dan kepelbagaian warna-warni kampung-kampung di Perlis tersebut.
Maklumat dan pengalaman berharga ini dipersembahkan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas mengiringi Baginda dalam program MAIPs Peduli yang berakhir di Pulau Ketam Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis baru-baru ini.
Delegasi Uzbekistan ini turut disertai oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Wilayah Tashkent, Aripov Tokhir, Ketua Jabatan Pelaburan, Industri dan Perdagangan Wilayah Tashkent, Sharipov Najmiddinkhuja serta Ketua Dewan Perdagangan dan Industri Wilayah Tashkent, Abdukhalilov Abdurasul.
Terdahulu, daripada itu delegasi dari Uzbekistan tersebut mengadakan sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Tuanku Raja Muda di
Balai Menghadap Biru, Istana Arau.
Dalam program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs kepada tiga orang penerima dari Kampung Wai, iaitu Sidik Ahmad, 69 tahun, Roryah Abu, 62 tahun, dan Shahidan Umar,63 tahun.
Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah di samping sumbangan peribadi tambahan daripada pihak delegasi Uzbekistan tersebut bagi membantu meringankan keperluan harian mereka.