Kepelbagaian budaya perlu diperkukuh di sekolah – Raja Muda Perlis

BUKIT KETERI: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa perpaduan kaum dan kepelbagaian budaya di sekolah perlu terus diperkukuh oleh semua pihak dengan bimbingan para guru.

Program seni budaya di sekolah juga perlu diperhebat sebagai kunci kepada kemakmuran dan keharmonian kaum. Setiap pelajar harus menghargai kepelbagaian budaya agar seni budaya dapat mempromosikan keharmonian masyarakat pada masa depan.

Demikian titah baginda bagi mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di negeri Perlis selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Bukit Keteri.

Baginda merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada para pendidik sekalian dan menambah bahawa dalam dunia pendidikan yang semakin berasaskan teknologi, guru sesungguhnya memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar menggunakan teknologi secara positif. Bimbingan dan tunjuk ajar berkesan daripada guru amat diperlukan agar pelajar dapat mengadaptasi perubahan ini dengan baik dan bertanggungjawab.

Program kayuhan amal ini merupakan inisiatif berbasikal anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang bertujuan untuk menyantuni masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di Negeri Perlis.

Dalam program penuh makna ini, Tuanku Raja Muda yang turut diiringi oleh ketua-ketua jabatan dari agensi negeri dan Persekutuan, yang bersama-sama turun padang mengunjungi kampung-kampung serta kawasan pedalaman dengan berbasikal. Selain menyampaikan sumbangan zakat, kehadiran rombongan ini turut memberi peluang untuk menyelami realiti kehidupan masyarakat secara lebih dekat dan mesra.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih bagi edisi kali ini, iaitu Rokiah Mat, 66 tahun dan Che Hamid Che Musa, 64 tahun, kedua-duanya dari Kampung Semadong, serta Norazizan Bahari, 53 tahun, dari Kampung Paya Kelubi.

Setiap penerima menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli dan beras fidyah – sebagai tanda keprihatinan MAIPs dalam membantu mereka yang memerlukan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

MAIPs rai 13 pelajar asnaf

2025/05/20 12:19 PM

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content