CHILD jalin kerjasama dengan perpustakaan negeri

KANGAR: Children’s Industry, Lifelong Learning and Development (CHILD) terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Perpustakaan Awam Negeri Perlis menerusi inisiatif Perpustakaan I-Play. Inisiatif ini merangkumi pengumpulan dana serta sumbangan mainan baharu dan ‘preloved’ yang akan dimanfaatkan oleh kanak-kanak berusia 1 hingga 8 tahun (normal) dan 1 hingga 14 tahun bagi kanak-kanak berkeperluan khas di Negeri Perlis.

Mainan yang dikumpulkan ini akan digunapakai dan menarik minat lebih ramai kanak-kanak untuk kembali memanfaatkan kemudahan Perpustakaan I-Play yang kini terdapat di empat lokasi utama iaitu di Simpang Empat, Kuala Perlis, Padang Besar, dan Arau. Sebuah lagi perpustakaan I-Play baharu akan dibuka di Kangar, menjadikan jumlah keseluruhan lima buah perpustakaan permainan di negeri ini.

Majlis Penyerahan Sumbangan Permainan Kanak-Kanak ke Rangkaian Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang berlangsung di Jalan Penjara, Pusat Bandar Kangar telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, Abd Rahim Husin dan Pengerusi merangkap Growth Officer Arau CHILD, Eena Khalil Lim.

Dalam ucapan alu-aluannya, Abd Rahim memaklumkan bahawa jabatan beliau memperuntukkan bajet tahunan untuk pelaksanaan aktiviti I-Play di semua lokasi, dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional, Tabika KEMAS, Tabika Islam, serta institusi pendidikan prasekolah swasta yang lain.

Beliau turut menambah bahawa empat perpustakaan permainan yang kini beroperasi merupakan hasil ilham Tuanku Syed Faizuddin Putra dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan telah direalisasikan melalui sumbangan Yayasan Emkay serta syarikat E2L.

Perpustakaan Mainan I-Play yang pertama di Perlis ditubuhkan pada 29 Julai 2007 di Arau. Setelah hampir dua dekad, mainan asal yang digunakan masih kekal dalam keadaan baik dan aktif, bukti kepada pengurusan cemerlang serta dedikasi Perpustakaan Awam Negeri Perlis dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang mesra kanak-kanak, lestari dan efektif.

Sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang untuk meluaskan akses kepada kemudahan ini, CHILD kini aktif meneruskan usaha pengumpulan dana dan sumbangan mainan bagi memperlengkapkan semua 45 perpustakaan dalam rangkaian Perpustakaan Awam Negeri Perlis dengan kemudahan I-Play Toy Library.

Inisiatif ini dijayakan dengan kerjasama strategik bersama Re:Play Toy Hub serta sokongan tajaan daripada GHL Systems Berhad (kini dikenali sebagai NTT Data Payment Services Sdn. Bhd.) dan MyNews Holdings Berhad.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat khususnya Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan CHILD serta rakan-rakan strategik atas dedikasi dalam memastikan kebajikan dan perkembangan holistik kanak-kanak terus terpelihara.

Baginda berdua turut menyeru agar lebih ramai rakan strategik, penaja korporat, dan individu tampil menyokong usaha ini agar lebih ramai kanak-kanak di Perlis dapat menikmati manfaat permainan dan pembelajaran kreatif dalam persekitaran yang inklusif dan menyeronokkan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content