ARAU: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat meluangkan masa untuk bersama masyarakat setempat meninjau Ibadah Korban yang dijalankan di Masjid Negeri Arau, dan Masjid Al-Mursyid, Pauh Guring.
Turut berangkat mengiringi Baginda berdua adalah anakanda putera, Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, dan anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini membawa keberkatan, keikhlasan dan semangat pengorbanan yang mendalam dalam jiwa setiap insan. Hari yang mulia ini sewajarnya diraikan dengan penuh rasa syukur, kasih sayang dan kebersamaan bersama insan tersayang.
recommended by
Brainberries
Legendary Creatures From Around The World: Real Or Myth?
Learn more
Baginda berdua turut menitipkan peringatan bahawa ibadah korban mengandungi pelbagai hikmah dan nilai yang mendalam, membentuk sahsiah individu yang luhur, membina keharmonian masyarakat serta memupuk sifat keikhlasan dan kesyukuran dalam setiap amalan kehidupan.
Ibadah ini juga mendidik umat agar lebih empati terhadap golongan memerlukan, menanamkan rasa prihatin dan kasih sayang dalam masyarakat. Nilai pengorbanan dan keikhlasan yang terpancar melalui amalan korban menyemai ukhuwah yang erat dan saling menyokong antara satu sama lain.