KUCHING, 21 Jun 2025 — Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar telah berkenan menghoskan satu Majlis Santapan Malam bagi meraikan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di Hotel Hilton Kuching malam ini.
Majlis penuh mesra dan berprotokol itu turut diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi, serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Berangkat sama menyertai majlis ialah putera dan puteri Baginda berdua, iaitu Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Tun Pehin Sri turut diiringi oleh anakanda-anakanda beliau bersama pasangan masing-masing, memeriahkan suasana kekeluargaan dan kenegaraan yang terpancar sepanjang majlis.
Dalam suasana santai namun beradab, perbualan mesra antara tetamu kehormat menyentuh pelbagai aspek sejarah negeri Sarawak — termasuk zaman pemerintahan Dinasti Brooke, penjajahan British, serta perjalanan kemajuan Sarawak selepas merdeka. Turut dibincangkan ialah halatuju pembangunan negeri serta potensi kerjasama strategik antara Sarawak dan Negeri Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titahnya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas layanan istimewa dan sambutan mesra yang diberikan sepanjang lawatan Baginda ke Sarawak.
Majlis santapan ini merupakan antara acara utama dalam rangka lawatan khas empat hari Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis ke Bumi Kenyalang, yang turut melibatkan program kebudayaan dan alam sekitar.