MAIPs peruntuk RM288,000 kepada pelajar Pra-Universiti di bawah JPN

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
28 JUN 2025

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM288,000
kepada pelajar Pra-Universiti di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Seramai 240 pelajar Tingkatan Enam di Semester 2 daripada sembilan buah sekolah menengah di seluruh Perlis menerima bantuan berjumlah RM1,200 setiap seorang.

Simbolik pengurniaan untuk tujuan agihan teratur dan berfasa kepada para penerima yang layak dan dipilih oleh pihak sekolah-sekolah di negeri ini tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kepada Pengarah JPN Perlis, Rose Aza Che Ariffin dalam satu majlis yang berlangsung di Masjid Darul Ibadah, Padang Behor, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

MANIFESTASI KEPRIHATINAN MAIPs

Mohd Nazim berkata, sumbangan berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan MAIPs terhadap keperluan pendidikan anak-anak Perlis yang berpotensi melangkah ke peringkat lebih tinggi khususnya di program Pra-Universiti Tingkatan Enam.

“MAIPs menyedari bahawa pelaburan terhadap pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang sangat penting,” katanya.

Sehubungan itu MAIPs berharap sumbangan ini bukan sekadar meringankan beban, tetapi turut menjadi dorongan moral kepada para pelajar untuk terus cemerlang dan membina masa depan yang lebih gemilang.

Beliau turut menzahirkan harapan agar pelajar-pelajar di negeri ini tidak mudah berputus asa sekiranya tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi kerana masih berpeluang untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam di bawah kelolaan JPN Perlis.

PROSES PEMINDAHAN MINDA

“Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi adalah proses perubahan minda dan jiwa ke arah yang lebih baik,” katanya.

“Jadikanlah permulaan tahun baru hijrah ini sebagai titik tolak untuk menjadi insan lebih berdaya tahan, lebih berdisiplin, dan lebih bersungguh-sungguh,” tambah beliau.

Untuk rekod, Pencapaian Gred Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Perlis dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 baru-baru ini berada pada paras terbaik selepas mencatatkan gred 2.87, meningkat 0.02 mata berbanding 2023 iaitu 2.85, sekali gus mengatasi PNGK Kebangsaan yang mencatatkan 2.85 mata.

Perlis juga mencatat 98.78 peratus calon lulus penuh dalam peperiksaan berkenaan dengan 20 pelajar cemerlang mencapai 4.00 PNGK berbanding 16 orang pada STPM 2023. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content