BESERI, 8 Julai 2025 – “Integriti adalah asas yang mengukuhkan kepercayaan antara individu. Masyarakat yang dihuni oleh insan-insan berintegriti akan hidup dalam keadaan yang aman, saling menghormati dan saling membantu,” titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Titah baginda, nilai integriti bukan sekadar slogan, tetapi perlu dijadikan sebagai prinsip utama dalam kehidupan, khususnya dalam membentuk generasi muda yang unggul dari aspek akademik, sahsiah dan jati diri.
“Para pelajar adalah cerminan wajah negeri dan negara masa depan. Untuk merealisasikan hasrat ini, mereka perlu membudayakan nilai amanah, tanggungjawab dan kejujuran dalam setiap urusan – sama ada ketika belajar, bergaul mahupun semasa memimpin,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Program Titian Kasih Mega 2025 peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengetua MRSM Beseri, Haji Mohd Rizalmi Dahaman, Pengarah JPN Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat YTSP, Datuk Johari Mohd Darus, dan ketua penyelaras program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Turut hadir Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraaf Wajdi Dusuki serta Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman.
Program ini melibatkan seramai 383 pelajar dari Tingkatan 1 hingga 3, terdiri daripada 181 pelajar lelaki dan 202 pelajar perempuan.
Prestasi Cemerlang MRSM Beseri
Dalam ucapannya, Pengetua MRSM Beseri berkongsi kejayaan cemerlang SPM 2024 dengan Gred Purata Maktab (GPM) 1.9068, tertinggi dalam keseluruhan sistem MRSM negara. Antara pencapaian utama:
22 pelajar memperoleh 9A
Tiga subjek capai 100% A
65% pelajar meraih sekurang-kurangnya 6A
59% calon dari Perlis peroleh 6A ke atas, termasuk dalam kalangan pelajar B40
MRSM Beseri turut dinobat sebagai Sekolah Terbaik Perlis dan berada pada kedudukan ke-25 daripada 55 MRSM seluruh negara.
Cemerlang juga dalam kokurikulum, MRSM Beseri memenangi:
Johan Pertandingan Debat IDC UIAM
3 pingat emas Inovasi UUM
Penyertaan ke IPTC 2025 tajaan Schlumberger
Dari aspek kepimpinan guru, institusi ini meraih IPMA Terbaik 2025 serta membentang amalan terbaik di MIEC 2024.
Tuanku Raja Muda turut berkenan merasmikan Galeri Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang menghimpunkan koleksi pencapaian akademik dan kokurikulum MRSM Beseri sebagai inspirasi kepada warga pendidik dan pelajar.
Program ini menjadi medan penting menyemai nilai murni dan integriti dalam kalangan pelajar, selaras dengan aspirasi negeri Perlis untuk melahirkan modal insan seimbang, berdaya saing dan berakhlak tinggi