Integriti Asas Mengukuhkan Kepercayaan Antara Individu – Raja Muda Perlis

9 JULAI 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, integriti adalah asas yang mengukuhkan kepercayaan antara individu.

Masyarakat yang dihuni oleh insan-insan berintegriti akan hidup dalam keadaan yang aman, saling menghormati, dan saling membantu.

Ia menjauhkan persengketaan, menolak budaya mementingkan diri dan memupuk perpaduan yang utuh.

Baginda bertitah, dunia hari ini menuntut kita melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dalam sahsiah dan jati diri.

CERMINAN WAJAH NEGERI

Para pelajar adalah cerminan wajah negeri dan juga negara pada masa hadapan.

Dalam menelusuri kehidupan sebagai individu yang berakhlak dan bertanggungjawab, integriti perlu dijadikan sebagai prinsip utama.

“Untuk merealisasikan hasrat ini, golongan pelajar perlu membudayakan nilai amanah, tanggungjawab dan kejujuran dalam setiap urusan baik semasa belajar, bergaul mahupun semasa memimpin,” titah Baginda.

ADALAH TIANG SERI

“Nilai-nilai ini adalah tiang seri kepada masyarakat yang makmur dan bebas daripada gejala negatif seperti rasuah, penipuan dan salah guna kuasa, ” titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 bagi peringkat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri.

Turut berangkat sama adalah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

BAGINDA BERDUA DISAMBUT

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengetua MRSM Beseri, Mohd Rizalmi Dahaman, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus serta ketua penyelaras program, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Turut hadir sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraaf Wajdi Datuk Dusuki dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Zulfikri Osman.

Program anjuran YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini melibatkan 181 pelajar lelaki dan 202 pelajar perempuan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.

Pengetua MRSM Beseri, turut berkongsi kejayaan luar biasa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dengan Gred Purata Maktab (GPM) 1.9068 yang merupakan lonjakan tertinggi seluruh MRSM di negara ini.

TIGA SUBJEK MENCATAT

Seramai 22 pelajar memperoleh 9A, tiga subjek mencatat 100 peratus A, dan 65 peratus pelajar meraih 6A ke atas.

MRSM Beseri turut diiktiraf sebagai Sekolah Terbaik Perlis dan berada di kedudukan ke-25 daripada 55 MRSM di Malaysia.

Seramai 39 calon anak Perlis menduduki SPM di sini, dengan 59 peratus berjaya memperoleh 6A ke atas, termasuk pelajar daripada golongan B40.

TERSERLAH DALAM KOKURIKULUM

Kecemerlangan juga terserlah dalam kokurikulum seperti Johan Pertandingan Debat Antara Sekolah (IDC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), 3 emas inovasi Universiti Utara Malaysia (UUM), dan penyertaan pelajar ke International Petroleum Technology Conference (IPTC) 2025 tajaan Schlumberger.

Dari aspek kepimpinan guru, MRSM Beseri meraih IPMA Terbaik 2025 serta membentang amalan terbaik di MIEC 2024.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Galeri Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang bakal menampilkan pelbagai koleksi kecemerlangan MRSM Beseri, merangkumi pencapaian gemilang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content