KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UNIKL–ASTI) yang bakal dibangunkan di Lembah Chuping, Padang Besar.
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada majlis yang berlangsung di Dewan Warisan, di sini
kelmarin.
Baginda disambut Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan.
Juga Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Awang dan Ahli Dewan Negara, Senator Baharuddin Ahmad serta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.
Turut dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Yang Berhormat dan Pengerusi UniKL, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali serta Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki serta Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulkifli Osman.
Dalam titah baginda, Tuanku Raja Perlis merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas usaha merealisasikan projek tersebut.
Pembinaan kampus di atas tapak seluas 60 ekar itu merupakan sebahagian daripada pembangunan Chuping Valley Industrial Area (CVIA).
“Penubuhan UNIKL–ASTI bakal menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang logistik, pengangkutan dan pengurusan rantaian pembekalan serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan TVET di peringkat nasional dan antarabangsa,” titah baginda.
Menurut baginda, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2028, dan akan menggunakan teknologi Sistem Pembinaan Industri (IBS) serta Model Pembangunan Maklumat (BIM) bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan.
Selain itu, penggunaan teknologi solar juga akan diterapkan bagi memastikan pengurusan tenaga yang cekap dan mesra alam selaras dengan keperluan semasa.
Tuanku turut menzahirkan harapan agar semua pihak termasuk agensi teknikal dan bukan teknikal berganding bahu menjayakan projek ini bagi kepentingan rakyat Perlis.
“Kejayaan pembinaan UNIKL–ASTI ini adalah kejayaan kita bersama. Ia akan menjadikan negeri Perlis sebagai pusat perkembangan ilmu dalam bidang teknologi kejuruteraan,” titah baginda lagi.
Baginda turut menekankan kepentingan budaya cintakan ilmu dalam kalangan rakyat, terutamanya generasi muda, sebagai asas penting dalam pembentukan jati diri dan pembangunan negeri.
UNIKL–ASTI bakal menjadi institusi pendidikan teknikal berprestij yang lengkap dengan infrastruktur moden dan memenuhi keperluan industri logistik serta pengangkutan masa kini dan masa depan, khususnya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). – HARAKAHDAILY 10/7/2025