MAIPs sumbang RM20,000 kepada MRSM Beseri

KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri bagi melaksanakan Program Pemerkasaan Kecemerlangan Akademik pelajar-pelajarnya.

Sumbangan itu disampaikan secara simbolik oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs kepada Pengetua MRSM Beseri, Rizalmi Dahaman kelmarin.

Ketibaan baginda disambut oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman dan Timbalannya, Zahari Aziz dengan turut berangkat anakanda baginda Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM12,000 kepada 40 pelajar MRSM daripada keluarga asnaf, masing-masing menerima RM300 setiap seorang menerusi Program MAIPs Peduli.

Program tersebut turut melibatkan aktiviti turun padang menyantuni masyarakat bersama warga kerja MARA dan Alumni MRSM Beseri (ANSERI).

Syarikat Aezlyn Optical, yang dimiliki oleh usahawan MARA, juga turut melaksanakan projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) sumbangan cermin mata untuk para pelajar pada hari sama.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda menzahirkan harapan agar sumbangan MAIPs dimanfaatkan sebaiknya untuk merancang program bimbingan, kelas sokongan dan sesi motivasi berimpak tinggi kepada calon-calon peperiksaan utama.

Baginda turut menekankan kepentingan mengimbangi kecemerlangan akademik dengan pembentukan sahsiah, nilai murni dan akhlak dalam kalangan pelajar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan MAIPs dalam mendukung pembangunan pendidikan anak-anak Perlis.

“MAIPs sentiasa komited menyokong ekosistem pendidikan yang holistik, bukan hanya cemerlang akademik tetapi juga berteraskan nilai murni dan adab. Kita mahu lahirkan pelajar yang bijak dan berakhlak mulia,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan menyokong institusi pendidikan seperti MRSM Beseri adalah strategi penting bagi memastikan pelajar, terutamanya daripada keluarga berpendapatan rendah, tidak tercicir daripada mendapat peluang menyertai program kecemerlangan.

Sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan MAIPs dalam memperkasakan institusi pendidikan dan pelajar sebagai aset masa depan negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content