Raja Muda Perlis Kunjungi Surau-Surau di Lembah Klang Sempena Kayuhan Amal ‘Care For Life’ KPJ Healthcare

14 Julai 2025 | Kuala Lumpur

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengunjungi dua buah surau utama di Lembah Klang – Surau Al-Syakirin Bandar Utama (SASBU) dan Surau Mutiara Damansara (SMD) – sempena program kayuhan amal ‘Care For Life’ anjuran KPJ Healthcare Berhad.

Keberangkatan Baginda disambut mesra oleh pengurusan KPJ Healthcare serta ahli jawatankuasa surau dan penduduk setempat.

Di SASBU, Baginda berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan tunai oleh Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan kepada lapan pelajar asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 2. Majlis turut diserikan dengan simbolik penanaman pokok Kenanga oleh Baginda sebagai tanda kenangan keberangkatan ke surau tersebut.

Program seterusnya diteruskan ke Surau Mutiara Damansara, yang juga menjadi lokasi permulaan dan penamat bagi acara kayuhan amal tersebut. Di sini, Tuanku Raja Muda berkenan meninjau ruang solat utama surau yang menampilkan seni bina mihrab bertemakan Al-Hambra dari Andalusia, menyerlahkan keindahan seni Islamik dalam landskap moden.

Baginda turut menyaksikan penyerahan sumbangan tunai kepada 13 asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Mutiara Damansara sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat KPJ Healthcare.

Menutup rangka lawatan, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan meluangkan masa menziarah gerai-gerai juadah yang disediakan oleh komuniti kariah, sekali gus merapatkan hubungan silaturahim antara institusi diraja dan masyarakat setempat.

Program ini mencerminkan keprihatinan berterusan Baginda terhadap pembangunan komuniti, kebajikan asnaf, serta usaha memperkukuh institusi surau sebagai nadi kesejahteraan masyarakat bandar.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.