Raja Muda Perlis Hadiri ‘Majlis Sanjungan Budi’ MAIPs, Raikan Tokoh Penggerak Pembangunan Ummah

21 Julai 2025 | Kuala Lumpur — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menghadiri Majlis Sanjungan Budi anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), sebagai tanda penghargaan kepada individu-individu yang telah memberi sumbangan signifikan dalam memperkasa tadbir urus dan pembangunan ummah di negeri Perlis.

Turut berangkat menyertai majlis penuh penghormatan yang berlangsung di ibu negara itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut kenyataan MAIPs, majlis tersebut diadakan khusus bagi meraikan tokoh-tokoh yang telah menunjukkan komitmen tinggi melalui penyertaan mereka dalam pelbagai Jawatankuasa Khas MAIPs — menyumbang kepakaran, masa dan buah fikiran dalam memajukan institusi Islam negeri.

Antara tokoh yang diraikan ialah Datuk Wan Arif Wan Hamzah, tokoh korporat yang aktif sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Wakaf dan Jawatankuasa Pembangunan MAIPs. Beliau hadir bersama isteri, Datin Nik Mariam Nik Abdul Rahman.

Turut menerima penghargaan ialah Datuk Izham Mahmud, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pemantapan Inisiatif MAIPs, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan inisiatif wakaf. Beliau hadir bersama isteri Datin Zaiton Mustaffa, anak-anak Farid Riza dan Datin Hana Sakina, serta menantu Datuk Mozni Sham.

Sumbangan dalam bidang teknologi maklumat turut diraikan melalui Haji Azlan Hussain, Pengerusi Jawatankuasa ICT MAIPs, yang telah membantu memperkasa usaha digitalisasi dan infrastruktur ICT agensi tersebut.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs menzahirkan penghargaan atas sumbangan ikhlas para tokoh:

“Penglibatan mereka bukan sekadar atas kapasiti rasmi, tetapi lahir daripada keikhlasan dan semangat tinggi untuk melihat institusi Islam di Perlis terus maju dan diyakini umat. Mereka adalah sebahagian daripada kekuatan sebenar di belakang kejayaan MAIPs selama ini.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, menekankan bahawa sumbangan ahli jawatankuasa khas sangat penting dalam memperkukuh tadbir urus berintegriti, selaras dengan fungsi yang diperuntukkan melalui Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006.

“Impak mereka amat besar terhadap kesejahteraan komuniti Islam, terutamanya dalam bidang wakaf, kebajikan dan pemerkasaan asnaf,” ujar beliau.

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda serta sesi bergambar kenangan bersama para tetamu yang diraikan.

(Foto: MAIPs / Istana Arau)

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.