MAIPs Rancang Tubuh Pusat Sehenti Usahawan Asnaf Berinspirasi Model Kigali

Kigali, Rwanda – Terinspirasi daripada kejayaan model keusahawanan Norrsken House Kigali di Afrika, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merancang untuk menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Khidmat Usahawan Asnaf sebagai langkah memperkasakan ekonomi golongan asnaf secara holistik.

Inisiatif tersebut bakal dilaksanakan melalui program Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dengan memanfaatkan ruang dan aset sedia ada milik MAIPs.

Safar Ilmi MAIPs 2025 di Kigali baru-baru meneroka peluang untuk memperkasakan ekonomi golongan asnaf di Perlis secara holistik.
Perkara itu dinyatakan oleh MAIPs susulan lawatan Safar Ilmi MAIPs 2025 ke Kigali yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, baru-baru ini.

Lawatan tersebut menyaksikan keberangkatan baginda berdua meneliti sendiri suasana dan pengurusan fasiliti Norrsken House Kigali.

Turut berangkat mengiringi ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pendekatan sebegini sangat relevan untuk diguna pakai dalam konteks Malaysia.

Menurutnya, perkara tersebut mampu memperkasakan golongan asnaf secara holistik menerusi pendidikan, latihan teknikal, literasi digital, pengurusan perniagaan dan kebolehpasaran.

“Kita berhasrat agar MAIPs bukan sekadar membantu dengan dana, bahkan mencipta laluan jangka panjang untuk para asnaf berdikari,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa pusat sehenti itu akan menggabungkan elemen sokongan profesional, pembinaan rangkaian, akses pasaran dan pemantauan prestasi.

“Pelaksanaan aktiviti ilmu dan bimbingan yang inklusif juga akan menjadi tunjang utama dalam pembangunan usahawan asnaf,” katanya lagi.

Norrsken House Kigali merupakan sebuah pusat keusahawanan berimpak tinggi dan antara ekosistem paling aktif di Afrika.

Pusat kerja bersama (co-working space) yang beroperasi 24 jam itu kini menempatkan lebih 350 syarikat dan kira-kira 1600 orang usahawan serta pekerja profesional.

Pusat keusahawanan tersebut menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah ruang kerja fleksibel, bilik mesyuarat persendirian, auditorium minimalis, ruang serbaguna untuk acara, serta sistem sokongan keusahawanan.

Antara sokongan yang ditawarkan termasuklah khidmat penasihat undang-undang, akauntan, pelabur, juru pemasaran, penterjemah dan penasihat pembiayaan.

Model ini menampilkan pendekatan hibrid yang menggabungkan struktur yayasan dan entiti mampan melalui yuran, program komuniti serta pelaburan berimpak.

Kredit Foto: Ihsan MAIPs

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content