NAIROBI, 27 Julai 2025 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meneruskan misi ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ di Kenya dengan mengadakan pertemuan bersejarah bersama pemimpin-pemimpin utama komuniti Islam negara tersebut.
Majlis yang berlangsung di Masjid Jamia, Nairobi, diadakan sejurus selepas solat Jumaat berjemaah dan turut dihadiri Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pertemuan tersebut memperlihatkan kesediaan kedua-dua pihak untuk memperkukuh diplomasi ummah dan jaringan kerjasama Islam antarabangsa.
Turut hadir ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Syarafina Adilah Abdul Nasir.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, diikuti sesi pengenalan oleh pihak penganjur dan wakil delegasi Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamia (JMC), Sheikh Mohamed O. Warfa menyifatkan kehadiran delegasi dari Malaysia sebagai “permulaan penting kepada kerjasama strategik” antara komuniti Islam kedua-dua negara.
Beberapa tokoh Muslim Kenya turut berkongsi pandangan, antaranya:
Billow Kerrow (Bendahari JMC) – membentangkan tajuk “Kenya: Muslim Perspective”
Sheikh Jamaludin Osman – Imam Masjid Jamia
Sheikh Abdullahi Abdi – Pengerusi NAMLEF
YB Aden Duale – Menteri Kesihatan Kenya (EGHCS)
Dalam titahnya, Tuanku Raja Muda Perlis menekankan kepentingan membina hubungan ukhuwwah Islamiyah rentas sempadan dan menyeru umat Islam agar memperkukuh solidariti serta memainkan peranan positif dalam membina imej Islam sebagai agama rahmah dan rahmat untuk seluruh alam.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, TYT Ruzaimi Mohamad turut menyatakan komitmen Suruhanjaya Tinggi dalam menyokong usaha kolaboratif antara institusi Islam Malaysia dan komuniti tempatan Kenya.
Majlis diteruskan dengan sesi bergambar, penyampaian cenderamata, jamuan makan tengah hari, dan sesi perbincangan tertutup antara MAIPs dan JMC bagi merangka kerjasama strategik akan datang.
Antara cadangan yang dibincangkan termasuk:
Pembinaan masjid desa di Kenya dengan kerjasama Kenya Red Cross Society (KRCS)
Penubuhan Pusat Dakwah oleh Masjid Jamia
Sokongan kepada media Islam tempatan
Penajaan pelajar Kenya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) di Malaysia
Lawatan ini sekali gus memperkukuh peranan Malaysia, khususnya negeri Perlis, dalam menerajui diplomasi Islam global melalui pendekatan pendidikan, dakwah, dan kerjasama kemanusiaan.