Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
2 SEPT. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah agar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus muncul sebagai peneraju pentadbiran hal ehwal Islam yang gemilang melalui pendekatan holistik, berintegriti, berhikmah dan berimpak demi ummah sejahtera menjelang 2030.
Baginda menegaskan bahawa aspirasi itu tidak boleh dicapai sekiranya MAIPs hanya berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, sebaliknya perlu berani meneroka pendekatan-pendekatan baharu yang lebih kreatif, inovatif dan berpaksikan nilai Islam.
“Pentadbiran Islam tidak boleh hanya berlegar pada soal ibadah ritual semata-mata. Ia perlu merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, daripada pendidikan, kesihatan, ekonomi, teknologi, sehinggalah kepada kebajikan umatnya.
Demikian Titah Baginda menurut kenyataan dikeluarkan Pengurusan MAIPs hari ini.
MELANGKAH LEBIH JAUH
Justeru, titah Baginda MAIPs perlu melangkah lebih jauh agar benar-benar menjadi organisasi Islam yang memberi sinar kepada rakyat,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs juga menekankan kepentingan integriti dalam setiap tindakan MAIPs.
“Kekuatan sebuah institusi Islam bukan hanya pada jumlah dana yang diuruskan, tetapi pada tahap kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat. Sekiranya amanah dipegang dengan telus, rakyat akan terus menyalurkan zakat, wakaf, dan sumbangan dengan penuh yakin,” titah baginda Tuanku lagi.
BERSIFAT BERPANDANGAN JAUH
Selain itu, Tuanku Raja Muda menyeru agar perancangan MAIPs bersifat berpandangan jauh, dengan mengambil kira cabaran mendatang termasuk perubahan iklim, era digital, ekonomi, keperluan generasi muda, serta risiko kemiskinan sekitar.
“Jika perancangan ini disusun dengan baik, dengan izin Allah, ia akan menjadi legasi yang membimbing umat Perlis ke arah kesejahteraan menyeluruh,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menegaskan peri pentingnya sifat hikmah dalam membuat keputusan dan melaksanakan program. Menurut baginda, pentadbiran berasaskan hikmah akan melahirkan masyarakat yang harmoni, saling menghormati, serta mampu mengukuhkan imej Islam sebagai rahmat untuk semua.
PERLU MENJADI TERAS
“Holistik, berintegriti, berhikmah dan berimpak adalah empat prinsip yang perlu menjadi teras kepada setiap tindakan MAIPs. Dengan penekanan ini, kita akan mencapai hasrat membentuk ummah yang sejahtera menjelang tahun 2030,” titah Baginda lagi.
Menyahut titah Baginda, pengurusan MAIPs telah melaksanakan Mesyuarat Kick-Off Pembangunan Pelan Strategik Holistik MAIPs 2026–2030 yang berlangsung di pejabat MAIPs baru-baru ini.
Mesyuarat berkenaan menjadi langkah permulaan penting dalam merangka pelan jangka panjang yang bakal menyatukan pelbagai inisiatif strategik di bawah satu payung menyeluruh.
Pelan Strategik Holistik MAIPs ini dijangka memberi penekanan kepada aspek utama termasuk pengukuhan pentadbiran, pemberdayaan asnaf, pembangunan ekonomi berasaskan zakat dan wakaf, transformasi digital, pemantapan integriti, serta pembinaan masyarakat berhikmah. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia