Jakarta, 16 September 2025 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar satu lagi pencapaian penting apabila memperbaharui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universitas Trisakti (USAKTI), Jakarta.
Langkah ini mengukuhkan kerjasama strategik dua hala yang bukan sahaja berimpak kepada dunia akademik, malah memberi nilai tambah kepada masyarakat serantau.
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, menyatakan bahawa hubungan yang bermula sejak 2020 dan dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2021 kini memasuki fasa lebih kukuh.
“MoA ini melambangkan komitmen baharu dalam menggerakkan kolaborasi prasiswazah dan pascasiswazah, pertukaran staf akademik, mobiliti pelajar serta penyelidikan bersama,” katanya.
Selain itu, kerjasama ini juga meliputi penganjuran seminar, simposium dan forum antarabangsa, sekali gus merangsang idea baharu serta memperlihatkan kepakaran kedua-dua institusi.
MoA tersebut ditandatangani oleh Prof Ainun Na’im, Ketua Yayasan USAKTI, dan Prof Zaliman, dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Canselor UniMAP. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro Canselor UniMAP.
Prof Zaliman turut menegaskan bahawa UniMAP kini memperluas horizon akademik melalui tawaran Program Ijazah Dua dan Ijazah Bersama dengan USAKTI — memberikan pelajar pilihan laluan kerjaya lebih kompetitif di peringkat global.
UniMAP kini mempunyai tujuh fakulti, termasuk Fakulti baharu Komputeran Cerdas, dengan fokus utama dalam Kejuruteraan, Teknologi, serta TVET, khususnya bidang Elektrik dan Elektronik yang selaras dengan tuntutan industri.
Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menekankan peri pentingnya jaringan antarabangsa bagi memperkaya pengalaman mahasiswa:
“Saya ingin melihat lebih ramai pelajar UniMAP menimba ilmu di Indonesia, sambil kita juga menyambut baik pelajar Trisakti ke Perlis untuk mendalami kejuruteraan, teknologi dan inovasi.”
Kerjasama ini berlangsung sempena UniMAP International Leadership Mobility 2025, yang memperlihatkan kesungguhan universiti itu membina reputasi antarabangsa berlandaskan akademik, teknologi dan inovasi.