Oleh: Sholina Osman
14 OKT. 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menziarah Mantan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Othman.
Dr. Mohd Radzi selaku mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ) dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM), Bertam, Pulau Pinang setelah mengadu sesak nafas.
Keadaan beliau kini stabil serta beransur pulih ekoran jangkitan cellulitis pada bahagian kaki.
Baginda berdua juga menyempurnakan Titah Salam Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid yang menyampaikan ucapan takzim serta doa agar Dr. Mohd Radzi segera sembuh.
EMPAT PULUH MINIT
Baginda berdua meluangkan masa selama kira-kira empat puluh minit bagi bertanya khabar serta menyantuni Dr. Mohd Radzi dan keluarga.
Dr Mohd Radzi merupakan antara tokoh yang banyak berjasa kepada pembangunan institusi Islam di negeri Perlis serta pernah berkhidmat sebagai Mantan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis di bawah tiga orang Mufti, serta Mantan Ahli Majlis MAIPs.
Beliau juga dikenang sebagai pengasas utama Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah UniSIRAJ yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Raja Perlis yang kini menjadi antara fakulti teras universiti tersebut.
PELBAGAI KERJASAMA STRATEGIK
Kepimpinan beliau yang berwibawa telah membuka pelbagai kerjasama strategik antara UniSIRAJ dengan pelbagai institusi pengajian tinggi Islam terkemuka dunia seperti Universiti Islam Madinah Arab Saudi, Al-Madinah International University (MEDIU), Universiti Muhammadiyah Antarabangsa Malaysia (UMAM), Fatoni University Thailand (FTU), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), selain pelbagai universiti dalam negara dalam pelbagai bidang khususnya pengajian Islam.
Ziarah kasih oleh Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis ini mencerminkan keprihatinan tinggi Institusi Diraja Perlis terhadap tokoh ulama dan ilmuwan yang telah menabur jasa dalam memartabatkan ilmu serta memperkukuh kedudukan institusi Islam negeri Perlis. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia