Raja Muda Perlis lawat Pusat Kreatif Tuanku Bainun di Taman Tun Dr. Ismail

Oleh: Sholina Osman
14 OKT. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Pusat Kreatif Tuanku Bainun (PKTB) yang terletak di No. 48, Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi Pusat Kreatif Tuanku Bainun, Raja Datuk Seri Azureen Sultan Azlan Shah, Raja Datuk Seri Yong Sofia Sultan Azlan Shah, serta pengurusan pusat berkenaan.

KAYUHAN SMART MAL

Kunjungan tersebut ialah bersempena program Kayuhan Smart MAL anjuran Mal Tel Technology Son Bhd dengan kerjasama Dahua Malaysia Sdn Bhd dan disekalikan dengan Hari Sukan Negara serta Sambutan 25 Tahun Pemasyhuran Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Raja Muda Perlis dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sebagai Raja Puan Muda Perlis.

Dalam lawatan tersebut, Baginda berdua turut dipersembahkan taklimat mengenai operasi dan objektif pusat oleh Pengurus Besar PKTB, Wan Aminah Wan Suffian.

Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun (PKTB), yang di bawah naungan Raja Permaisuri Tuanku Bainun binti Mohd Ali, merupakan sebuah institusi bukan berasaskan keuntungan yang memupuk bakat seni dan kreativiti kanak-kanak serta remaja di Malaysia.

MENAWARKAN PELBAGAI AKTIVITI

Melalui program unggulnya, “Alam Kreatif”, PKTB menawarkan pelbagai aktiviti merangkumi teater, muzik, tarian, seni visual, dan kulinari kepada peserta berusia antara 7 hingga 17 tahun.

Program ini bertujuan membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi, serta kecintaan terhadap seni dan budaya tempatan, di samping menyediakan peluang kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dan golongan istimewa.

Bertempat di kawasan hijau Taman Tun Dr. Ismail, pusat ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti KuAsh Theatre, TemuTamu Hall, serta beberapa studio seni yang turut dibuka kepada komuniti setempat.

JAMBATAN ANTARA SENI

Dengan visi sebagai jambatan antara seni, pendidikan dan masyarakat, PKTB komited melahirkan generasi muda yang kreatif, berbudaya serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut menyaksikan sesi penyerahan sumbangan daripada syarikat Mal Tel Technology disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Simon Yew kepada pihak PKTB yang diterima oleh Wan Aminah. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.