Oleh: Sholina Osman
31 OKT. 2025
Golongan remaja masa kini diharapkan akan membesar menjadi generasi yang unggul, memiliki ilmu yang tinggi, akhlak yang mulia, dan mampu memimpin negeri serta negara dengan penuh integriti dan kebijaksanaan pada masa hadapan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Padang Besar, Perlis.
Berangkat sama ialah Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
MENTAATI IBU BAPA
Tuanku Raja Muda turut menasihatkan agar golongan muda supaya sentiasa mentaati ibu bapa dan guru kerana merekalah sumber keberkatan hidup. Ibu bapa adalah insan yang sentiasa mendoakan kejayaan seseorang, manakala guru pula berkorban tenaga dan masa demi menyinari jalan ilmu. Hormat serta restu mereka menjadi kunci utama kepada kecemerlangan sebenar setiap insan.
Kayuhan amal berimpak tinggi ini menjadi wadah bagi memupuk semangat keprihatinan, perpaduan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat, di samping mendukung hasrat MAIPs untuk memastikan kesejahteraan ummah di negeri Perlis terus terpelihara.
Program ini menggabungkan elemen sukan, kebajikan dan dakwah secara harmoni bagi melahirkan umat Perlis yang lebih prihatin dan penyayang.
SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT
Sempena edisi kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Asa Saad, 78, dari Kampung Chantik, Roslan Md Isa, 59, dari Kampung Batu 18, dan Siti Minah Matt, 61, juga dari Kampung Chantik.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli, serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan institusi tersebut terhadap golongan yang memerlukan.
Dalam kesempatan tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan meluangkan masa singgah meninjau Lee Garden Resort & Café, sebuah destinasi inap sedang dalam pembinaan yang bakal menawarkan suasana damai serta kemudahan moden dijangka menarik perhatian para pengunjung ke negeri ini apabila ianya mula beroperasi kelak. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia