7November 2025.
Arau.
Guru agama perlu menguasai Bahasa Arab kerana ia merupakan bahasa utama sumber ilmu Islam. Jangan hanya bergantung kepada karya terjemahan.
Sebelum menyampaikan kuliah, seseorang guru hendaklah membuat persediaan rapi agar isi pengajaran tepat dan jelas. Selain itu, kemahiran penyampaian juga perlu dipertingkat supaya sesi kuliah lebih berkesan dan mudah difahami oleh jemaah.
Guru agama juga hendaklah sentiasa memastikan kesahihan maklumat yang disampaikan agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan atau penyimpangan dalam masyarakat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Ittifaqiah Mengkuang Layar.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Raja Muda berkenan menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada seramai 45 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Mengkuang Layar (15), Kg Surau (15) dan Long Boh (15) dengan jumlah agihan pada kali ini sebanyak RM31,500.
Terdahulu daripada itu diadakan Ceramah Bangun Jiwa Asnaf MAIPs bertajuk ‘Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’ dan juga Ceramah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Sebagai rekod, pelbagai seminar dan daurah diadakan setiap bulan bagi membantu guru agama menambah pengetahuan dan meningkatkan kecekapan dalam bidang masing-masing di negeri Perlis. Melalui usaha berterusan ini, adalah diharapkan dapat melahirkan para agamawan yang berkualiti dan mampu menyampaikan ilmu Islam yang benar kepada masyarakat.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia