Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
9 MAC 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Ijtimak Guru Muraqib Amil Sekolah Negeri Perlis 2026 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid As-Sobirin Kampung Gial, Arau.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, Program Ijtimak Guru Muraqib Amil Sekolah yang melibatkan seramai 103 orang peserta ini diadakan secara tahunan bagi menghimpunkan guru-guru yang dilantik sebagai Muraqib Amil di sekolah-sekolah Menengah dan juga Rendah seluruh Negeri Perlis.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kefahaman serta menyelaras peranan mereka dalam pengurusan zakat di peringkat sekolah.
AMANAH SEBAGAI GURU
Program berkenaan turut memberi pendedahan serta penerangan berkaitan tanggungjawab dalam melaksanakan amanah sebagai Guru Muraqib Amil, khususnya dalam aspek pengurusan penyaluran bantuan zakat kepada golongan yang layak.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian Saguhati Penghargaan MAIPs kepada guru-guru yang banyak terlibat membantu MAIPs dalam mengenalpasti dan memantau pelajar asnaf di seluruh Negeri Perlis.
Terdahulu, dalam titah ucapan Baginda, Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa sekolah merupakan pusat ilmu yang penting dalam membentuk sahsiah pelajar. Kehadiran yang konsisten membantu meningkatkan pencapaian akademik serta menyokong pembinaan masa depan yang lebih baik. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia