9 November 2025.
Kangar.
Justeru, para pendakwah mesti sentiasa mempersiapkan diri serta menggunakan segala ruang yang ada untuk menyampaikan mesej Islam dengan cara yang berkesan dan beradab.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli, anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Utan Aji, dekat Kangar.
Keberangkatan Baginda diiringi sama pada kali ini oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, serta pengurusan tertinggi Mahkamah Negeri Perlis, yang turut serta dalam edisi kayuhan amal kali ini.
Program berbasikal ini bertujuan mengeratkan silaturahim serta meningkatkan kesedaran sosial dalam kalangan masyarakat negeri. Ia juga menjadi platform untuk memperkukuh semangat kerjasama antara rakyat dan institusi negeri dan Persekutuan, selain menyemai nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Sempena kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima, iaitu Mat Akhir Budin, 72 tahun, dari Kampung Telaga Nyiur Manis, Zan Bulat, 72 tahun, dari Kampung Sentua Utan Aji, dan Salleh Md Isa, 75 tahun, dari Kampung Sentang Utan Aji.
Setiap penerima menerima bantuan berbentuk wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli, serta beras fidyah, sebagai tanda keprihatinan MAIPs terhadap golongan yang memerlukan serta sumbangan peribadi daripada Tan Sri Mohd Dusuki.
Sempena program itu juga, Tuanku Raja Muda turut mengadakan lawatan ke Gunung Medan Glamping & Cafe, yang terletak di puncak bukit Gunung Medan, Kangar. Destinasi ini menawarkan pengalaman unik gabungan kafe dan glamping. Kafe dua tingkat dengan rekaan kaca menyediakan pemandangan 360° bandar Kangar, lengkap dengan menu pencuci mulut dan minuman kopi yang menarik, menjadi tumpuan rakyat Perlis dan para pelancong, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.
Gunung Medan juga menawarkan enam unit glamping lengkap dengan pendingin hawa, TV pintar, bilik mandi peribadi, dan kawasan BBQ. Shuttle khas disediakan untuk memudahkan pengunjung naik ke puncak bukit. Tempat ini sesuai untuk bersantai, menikmati pengalaman “healing”, dan mencipta kenangan bersama keluarga atau rakan-rakan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia