Momentum Penyelidikan FCoEE Terus Diperkukuh Menerusi Geran Fasa II

Momentum Penyelidikan FCoEE Terus Diperkukuh Menerusi Geran Fasa II

Daripada Nurrul Huda Ahmad Lutfi

MEDAN, 15 Sept (Bernama) — Momentum penyelidikan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) terus diperkukuh menerusi Geran Penyelidikan Fasa II (2024/2025) yang menyaksikan peningkatan kepada 36 Geran Penyelidikan Jangka Pendek (STG).

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah skop penyelidikan turut diperluas meliputi isu keusahawanan asnaf, dana zakat dan wakaf, konflik dan tekanan asnaf, celik kewangan, kesihatan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), motivasi, pengajaran dan pembelajaran serta kebolehpasaran.

Baginda bertitah daripada 36 kajian itu, pelbagai data dan dapatan berkaitan cabaran serta peluang komuniti khususnya golongan asnaf telah dihasilkan.

“Perkembangan ini memperlihatkan peralihan FCoEE kepada pendekatan penyelidikan lebih holistik dalam memahami dan menangani isu pendidikan serta sosioekonomi masyarakat.

“Penyelidikan ini melihat isu kemiskinan bukan semata-mata dari sudut bantuan, sebaliknya turut merangkumi aspek pendidikan, kemahiran, keusahawanan, literasi kewangan, kesejahteraan dan mobiliti sosial,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Raya Al-Mashun, Kota Medan di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Sumbangan itu bagi menyokong pengimarahan masjid, pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan serta usaha memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan perpaduan masyarakat.

Masjid Raya Al-Mashun atau lebih dikenali sebagai Masjid Raya Medan yang mula digunakan sejak 1909 merupakan antara mercu tanda bersejarah utama Kota Medan yang terkenal dengan keunikan seni bina dan nilai warisan Islamnya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah dapatan penyelidikan itu menjadi asas penting kepada pembangunan intervensi masyarakat yang lebih bersasar, praktikal dan berasaskan bukti sekali gus memastikan hasil penyelidikan memberi manfaat yang lebih nyata kepada komuniti.

Baginda bertitah dalam usaha memperluas impak hasil penyelidikan ke peringkat antarabangsa, FCoEE turut menganjurkan International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE) di sini.

Raja Muda Perlis bertitah persidangan itu menjadi platform menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, agensi kerajaan dan rakan strategik bagi berkongsi pendekatan serta pengalaman dalam usaha membasmi kemiskinan dan memperkasakan masyarakat.

“ICOHOPE bukan sekadar wadah perkongsian ilmu tetapi turut membuka ruang kepada pertukaran idea, perkongsian amalan terbaik, pembentukan jaringan serta kolaborasi strategik yang boleh diterjemahkan kepada tindakan dan dasar yang memberi manfaat kepada masyarakat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan hasil penyelidikan Fasa I dan Fasa II FCoEE diterjemah kepada pelbagai output berimpak antaranya satu persidangan kebangsaan, satu persidangan antarabangsa di Medan, 16 pendaftaran harta intelek, empat prosiding, lima buku berkaitan asnaf serta 105 penerbitan.

“Daripada 105 penerbitan tersebut, ia merangkumi penerbitan dalam jurnal, bab dalam buku, artikel keratan akhbar dan artikel majalah.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan FCoEE menterjemahkan penyelidikan kepada bukti seterusnya mengembangkan hasil itu kepada platform, peluang serta tindakan yang mampu memperkasakan masyarakat,” titah baginda.

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.