5 November 2025.
Pauh Putra.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan ucapan selamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada seluruh pelajar Tingkatan Lima di negeri Perlis.
Baginda turut mendoakan agar setiap calon dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT, dikurniakan ketenangan jiwa, kefahaman yang jelas serta ketajaman minda ketika menjawab soalan, khususnya bagi mereka yang terkesan dengan bencana banjir di beberapa kawasan negeri Perlis ini.
“Para pelajar hendaklah terus kekal fokus dan berdisiplin, serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa. Dalam tempoh peperiksaan ini, jagalah kesihatan diri dan pastikan rehat yang mencukupi,” titah Baginda.
Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Bencana Banjir Negeri Perlis di Dewan Ilmu, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra yang baru dibuka semalam dan pada masa laporan mempunyai 283 orang.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Baginda dipersembahkan taklimat status terkini mengenai pusat-pusat pemindahan di daerah Arau oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, DSP Mohd Fauzi Mohamad.
Mengiring ialah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zaliman Sauli, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Begeri Perlis, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin.
Bagi SPM 2025 di Perlis, seramai 3,754 calon akan menduduki peperiksaan tersebut di 36 pusat peperiksaan yang telah ditetapkan.
Setakat laporan ini, 393 calon dikenal pasti terjejas akibat banjir.
Lima pusat peperiksaan turut dilaporkan terkesan banjir, melibatkan SMK Syed Hussein, SMA Al-MAAD, SMK Datuk Sheikh Ahmad, SMK Agama Arau, dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.
Sementara itu, sebanyak 29 sekolah di Perlis melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepenuhnya pada hari ini berikutan situasi banjir yang menjejaskan kehadiran warga sekolah.
Langkah ini melibatkan 17 sekolah rendah serta selebihnya sekolah menengah, bagi memastikan sesi pembelajaran pelajar dan murid tidak terganggu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan harapan agar semua calon SPM dikurniakan kelancaran sepanjang peperiksaan dan mencapai keputusan yang cemerlang demi masa depan diri, keluarga dan negeri Perlis.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia