Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah di sebalik kegembiraan Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), janganlah kita semua lupa menitipkan doa buat saudara-saudara kita di Perlis dan di mana jua yang sedang diuji dengan musibah banjir.
‘Semoga Allah mempermudahkan urusan perjalanan keluarga yang ingin pulang, dan memberi perlindungan sebaiknya kepada mereka yang terjejas’.
Titah tersebut dizahirkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor UniMAP ketika menyempurnakan Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen 20 Universiti Malaysia Perlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Tuanku Raja Muda dalam ucapan menasihatkan
bahawa meskipun teknologi berkembang pesat, nilai kemanusiaan tetap menjadi teras kejayaan. Siswazah perlu menguasai kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritikal bagi melengkapi kecerdasan buatan (AI).
Baginda turut bertitah bahawa dalam dunia kerja moden, literasi digital sama pentingnya dengan kemahiran insaniah. Siswazah digalakkan menguasai teknologi dan memanfaatkan AI dalam bidang masing-masing, termasuk automasi data, analisis ramalan, reka bentuk pintar dan penulisan berbantukan AI.
“Kemajuan teknologi dan ekonomi digital membuka peluang luas, termasuk pekerjaan jarak jauh, kerja bebas (freelancing) dan keusahawanan digital. Siswazah disaran mengurus kewangan dengan bijak serta memanfaatkan platform berasaskan AI seperti aplikasi pelaburan pintar dan sistem pengurusan bajet automatik,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi.
Pada sidang berkenaan, seramai 453 graduan daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) menerima penganugerahan masing-masing daripada baginda.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia