Universiti Wahana Ilmu dan Budi – Raja Perlis Titah Graduan Gunakan Kepakaran dengan Bijaksana

Universiti Wahana Ilmu dan Budi – Raja Perlis Titah Graduan Gunakan Kepakaran dengan Bijaksana

28 November 2025.
Pulau Pinang.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa universiti berperanan sebagai wahana ilmu dan budi yang membentuk pemikiran kritis serta jiwa yang dipandu dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab luhur.

Baginda menegaskan bahawa ilmu yang diperoleh di universiti bukan sekadar untuk kecemerlangan peribadi, tetapi menuntut para graduan mengaplikasikannya secara bijaksana demi memacu kemajuan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, negara, dan dunia.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Sirajuddin menyatakan bahawa masyarakat masa kini amat mengharapkan kepakaran dan kebijaksanaan golongan berilmu, khususnya dalam menghadapi tekanan ekonomi, perubahan sosial serta cabaran global yang semakin kompleks.

Sehubungan itu, para graduan USM diseru agar sentiasa tampil sebagai pemikir penyelesai masalah dan penyumbang nilai, supaya ilmu yang dimiliki terus memberi manfaat berpanjangan kepada masyarakat.

Baginda turut mengingatkan para graduan agar sentiasa memelihara sifat rendah diri walau setinggi mana kejayaan yang bakal dikecapi.

Jelas Tuanku Raja, kejayaan bukanlah titik akhir, tetapi permulaan kepada amanah yang lebih besar, dan ilmu yang diperoleh hendaklah dipandu oleh sifat ihsan, kesungguhan serta komitmen untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ilmu dan kepakaran yang dimiliki adalah amanah. Gunakanlah ia dengan hemah, kesungguhan, dan tekad untuk memberi nilai kepada masyarakat,” titah Baginda lagi.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-63 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, USM Pulau Pinang baru-baru ini.

Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid, dan disambut oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, bersama barisan pengurusan tertinggi universiti.

Pada majlis berkenaan, Tuanku Canselor turut berkenan menyempurnakan penganugerahan Pingat Emas Canselor kepada pelajar terbaik USM dalam segala lapangan, Jeremy Lau Wei Han.

Turut diraikan pada sidang tersebut ialah penerima Ijazah Doktor Psikologi (1 penerima), Ijazah Sarjana Sains dalam Geomatik untuk Pengurangan Risiko Bencana (1 penerima) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Penyakit Tumbuhan Tropika (5 penerima).

Istiadat Konvokesyen Ke-63 USM berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember 2025, merangkumi 14 sidang yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra. Secara keseluruhan, seramai 9,347 graduan menerima ijazah masing-masing, termasuk seorang penerima Ijazah Kehormat.

Turut menerima skrol ialah 865 graduan Doktor Falsafah (PhD), 3,501 graduan Sarjana, 4,934 graduan Ijazah Sarjana Muda serta 47 graduan Diploma Kejururawatan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.