Raja Muda Perlis Tinjau Calon SPM Terjejas Banjir, Tekankan Keselamatan dan Momentum Peperiksaan

Raja Muda Perlis Tinjau Calon SPM Terjejas Banjir, Tekankan Keselamatan dan Momentum Peperiksaan

9 November 2025.
Kangar.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri Perlis yang terjejas akibat banjir diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan, selain mengekalkan momentum bagi mencapai kecemerlangan keputusan peperiksaan, walaupun berdepan situasi cuaca yang tidak menentu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat meninjau perjalanan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Jalan Padang Katong, Kangar, baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut, Baginda turut berkenan menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Putra yang terletak bersebelahan, sebelum meneruskan tinjauan ke Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Ahmad di Behor Temak.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis (Sektor Perancangan), Haji Ahmad Sabri Mohamad, yang mewakili Pengarah Pendidikan Negeri, bersama barisan pengurusan sekolah.

Mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

SMK Putra merupakan antara sekolah yang terkesan dengan gelombang banjir terkini, seiring beberapa sekolah lain yang diarahkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat sementara waktu.

Bagaimanapun, SMK Putra tidak tersenarai sebagai pusat peperiksaan SPM yang terjejas secara langsung, berbeza dengan beberapa pusat peperiksaan lain di Perlis yang berhadapan limpahan air serta gangguan akses.

Walaupun cuaca tidak menentu, peperiksaan SPM 2025 tetap dijalankan mengikut jadual di seluruh negara, termasuk di kawasan yang terlibat banjir. Kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pihak sekolah melaksanakan pelbagai langkah segera bagi memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, terkawal dan teratur.

Bagi tahun 2025, Perlis merekodkan 3,754 calon SPM yang menduduki peperiksaan di 36 pusat peperiksaan, dengan 393 calon dilaporkan terjejas berikutan gangguan banjir serta proses perpindahan.

Walaupun beberapa pusat peperiksaan dan kediaman calon dinaiki air, tindakan pantas pihak berkuasa termasuk pemindahan segera, pembukaan pusat peperiksaan alternatif, serta penyediaan kenderaan khas seperti lori dan pengangkutan lain memastikan sesi peperiksaan dapat diteruskan tanpa mengabaikan keselamatan.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan Sekolah Jenis Kebangsaan Khoon Aik Kangar yang muncul Juara Antarabangsa dalam World Robot Olympiad (WRO) International Final 2025 di Singapura.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama Perlis, malah mengangkat martabat negara di pentas inovasi dan teknologi global.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.