Rejimen 504 Askar Wataniah Terus Jadi Benteng Perlis, Raja Muda Titah Perpaduan Jentera Negeri Kunci Kekuatan

77073

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa kecekapan gerak balas Rejimen 504 Askar Wataniah bukan sahaja memainkan peranan sebagai pasukan sokongan, malah merupakan salah satu tonggak pertahanan negeri yang sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang ancaman keselamatan mahupun bencana alam.

Baginda menegaskan bahawa apabila seluruh jentera negeri meliputi pasukan keselamatan, agensi teknikal, badan bukan kerajaan serta masyarakat bergerak seiring sebagai sebuah pasukan yang harmoni, maka terhasil kekuatan luar biasa yang mampu mengangkat Perlis sebagai sebuah negeri yang dinamik, teguh dan berdaya saing.

“Baru-baru ini, negeri kita sekali lagi diuji dengan bencana banjir. Namun di sebalik ujian tersebut, Saya melihat keberanian, disiplin dan kesiapsiagaan anggota keselamatan, agensi awam, pihak swasta serta rakyat biasa yang turun membantu tanpa ragu dan tanpa menoleh ke belakang. Ini termasuklah anak watan yang berkhidmat sebagai anggota sukarela Askar Wataniah,” titah Baginda.

Demikian titah Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah ketika berangkat menyempurnakan pelancaran Program Jiwa Murni Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen 504 Askar Wataniah Ke-45 di perkarangan Gua Kelam, Kaki Bukit.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan Markas Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohammad Razeif Che Ahmad dan Timbalan Komander Rejimen berkenaan, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.

Program Jiwa Murni pada tahun ini bukan sahaja meraikan ulang tahun penubuhan pasukan, tetapi turut memperkukuh hubungan strategik antara institusi ketenteraan, agensi keselamatan, kerajaan negeri serta komuniti setempat yang sentiasa menyokong peranan Rejimen 504 Askar Wataniah dalam aspek keselamatan, kesiapsiagaan dan kebajikan masyarakat.

Sebagai simbolik sambutan ulang tahun, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan upacara perasmian serta meninjau kawasan-kawasan sekitar Gua Kelam yang terkesan teruk akibat banjir baru-baru ini, namun kini telah dibersihkan dengan kerjasama Rejimen 504 Askar Wataniah, agensi negeri dan Persekutuan, para sukarelawan serta penduduk setempat.

Pada majlis sama, Baginda turut berkenan menyaksikam simbolik penyerahan sumbangan bantuan kepada lebih 110 keluarga yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda negeri baru-baru ini, sekali lagi mencerminkan keprihatinan dan komitmen Baginda terhadap kebajikan rakyat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.