CHONBURI (Thailand), 20 Disember 2025 — Para atlet diingatkan agar sentiasa menjunjung nilai kesukanan, bertanding secara adil dan menjadikan pengalaman serta pembentukan peribadi sebagai matlamat utama, kerana nilai-nilai tersebut lebih bermakna daripada sekadar pungutan pingat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kejayaan seseorang atlet tidak mungkin dicapai tanpa bimbingan guru dan jurulatih yang mencurahkan masa, tenaga serta dedikasi dalam membimbing atlet mencapai potensi terbaik masing-masing.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa, waris dan penjaga yang menjadi pendorong utama serta sumber sokongan berterusan kepada atlet untuk terus aktif dan cemerlang dalam bidang sukan.
“Pengiktirafan kepada semua pihak ini amat penting, kerana di sebalik setiap atlet yang berjaya, berdiri insan-insan hebat yang menjadi tulang belakang kejayaannya,” titah Baginda. Titah tersebut disampaikan ketika Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025, sempena keberangkatan Baginda ke Chonburi pada Jumaat.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Turut mengiring ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbang Tara Sukan SEA Thailand, Datuk M. Rajasekaran.
Sepanjang lawatan, Baginda berdua berkenan meninjau beberapa venue pertandingan, termasuk acara floorball dan hoki di Thailand National Sports University Chonburi, selain bola tampar pantai di Sports Arena Jomtien Beach.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia