Raja Muda Perlis berangkat ke Majlis Penutupan Rasmi Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025

Raja Muda Perlis

BANGKOK, 21 Disember — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, berkenan berangkat menghadiri Majlis Penutupan Rasmi Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, malam ini.

Ketibaan Baginda berdua disambut sebelum diperkenalkan kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand, Thamanat Prompow, yang seterusnya menyampaikan ucapan dan mengisytiharkan penutupan rasmi temasya dwitahunan sukan terbesar rantau Asia Tenggara itu.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Atthakorn Sirilatthayakorn, serta beberapa menteri Kabinet Thailand.

Majlis penutupan berlangsung dalam suasana penuh warna-warni dan bertenaga menerusi segmen khas The Sound of Whistle yang menampilkan persembahan artis T-POP terkenal, Daou dan Kratae, dengan lagu ikonik Thailand Rak Nak Naen yang digubah semula bagi mencerminkan semangat kesukanan, disiplin serta perpaduan dalam kalangan negara-negara ASEAN yang bertanding.

Dalam upacara simbolik, bendera Persekutuan Sukan Asia Tenggara dan bendera Sukan SEA 2025 diturunkan sebelum diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari, serta Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, sebagai tanda penyerahan rasmi penganjuran temasya berkenaan kepada tuan rumah seterusnya.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut dipersembahkan cenderahati khas sempena penganjuran Sukan SEA Ke-33 yang bermula pada 9 Disember lalu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Sukan Asia Tenggara, Datuk Seri Chaiyapak Siriwat, dalam satu majlis yang berlangsung di The Grand Fourwings Convention Hotel, Daerah Bang Kapi, di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Panel Timbang Tara Sukan SEA Thailand, Datuk M. Rajasekaran.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.