FCoEE perkasa asnaf menerusi AI, keusahawanan digital

FCoEE perkasa asnaf menerusi AI, keusahawanan digital

MEDAN, 16 September 2026 – Golongan asnaf di Perlis diperkasa dengan kemahiran keusahawanan digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai antara strategi membantu mereka keluar daripada kebergantungan terhadap bantuan kepada kemampuan menjana pendapatan sendiri.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran keusahawanan, pemasaran digital dan penggunaan AI dalam membangunkan perniagaan asnaf.

Baginda bertitah, menerusi Program Keusahawanan Digital FCoEE, peserta bukan sahaja diajar berniaga, malah dibimbing membangunkan jenama, memanfaatkan platform digital serta meningkatkan jualan dan pendapatan.

“Inisiatif ini menjadi pemangkin kepada peralihan golongan asnaf daripada penerima bantuan kepada individu yang mampu menjana pendapatan sendiri,” titah baginda.

Program itu dilaksanakan menerusi bengkel keusahawanan, Jelajah Digitalpreneur, lawatan industri, bimbingan individu serta pendedahan kepada perniagaan rentas sempadan di Hatyai, Thailand.

Daripada sasaran 40 peserta, seramai 23 telah menyertai bengkel berkenaan dengan lima peserta terbaik dipilih menerima bimbingan intensif bagi mengenal pasti potensi produk, memperkukuh strategi pemasaran dan meningkatkan prestasi perniagaan.

Prestasi serta perkembangan perniagaan peserta turut dipantau menerusi dashboard keusahawanan digital.

Antara peserta yang menunjukkan perkembangan ialah Shaifulazri Mohamad yang menambah baik pembungkusan produk serbuk teh, menggunakan AI dalam pemasaran serta membuka booth “Teh Ais Kaw Culture” sempena temasya sukan antarabangsa di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.

Peserta lain turut memperkukuh produk masing-masing termasuk Zainab menerusi “Sambal Garing Ciknab”, Sakinah dalam bidang kraftangan dan jahitan, Maznah dengan penambahbaikan pembungkusan bahulu itik serta Iazanatul Azwa menerusi inovasi produk tradisional Biskut “Y”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, peserta yang mempunyai potensi turut akan diberi peluang menyertai ekspo peringkat kebangsaan bagi memperluas pasaran, termasuk membuka laluan untuk produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut baginda, perkembangan peserta membuktikan penguasaan teknologi dan kemahiran digital mampu diterjemahkan kepada peluang ekonomi sebenar kepada golongan asnaf.

“Pendekatan FCoEE bukan sekadar membimbing peserta untuk berniaga, tetapi memperkasa mereka dengan kemahiran dan platform yang mampu membantu membina sumber pendapatan yang lebih mampan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke pertemuan bersama Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia merangkap Sekretaris Umum Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Dr Abdul Mu’ti, sempena Istiadat Pemasyhuran dan Penyerahan Watikah kepada baginda sebagai Canselor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Medan, baru-baru ini.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Pertemuan di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan pendidikan dan kerjasama strategik Malaysia-Indonesia menerusi jaringan Muhammadiyah.

Pemasyhuran Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Canselor pertama UMAM turut membuka ruang memperluas kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, keusahawanan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.