KUALA PERLIS, 23 Dis — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat merasmikan inisiatif pencahayaan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai yang dilaksanakan di Dataran Sanai, Kampung Pulau Ketam, di sini.
Program berkenaan merupakan inisiatif Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, yang bertujuan memperkasa pembangunan komuniti menerusi pengindahan persekitaran berteraskan identiti setempat, warisan budaya dan kesejahteraan rakyat.
Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Lt. Kol. Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli; Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin; serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Inisiatif pengindahan projek itu dilaksanakan susulan kunjungan Tun Dr. Mohd Ali bersama rombongan ke kampung berkenaan pada 3 Disember lalu yang membuka ruang perbincangan dan pertukaran pandangan berkaitan potensi pembangunan komuniti setempat.
Hasil kunjungan tersebut, satu kolaborasi pintar berjaya dijayakan melibatkan UTeM dan UniMAP dengan penglibatan kepakaran akademik serta teknikal kedua-dua institusi dalam merangka konsep, reka bentuk dan pelaksanaan projek pengindahan yang berimpak tinggi serta lestari.
Kemuncak acara menyaksikan Tuanku Syed Faizuddin Putra menyempurnakan simbolik pencahayaan kampung serta berkenan menerima “e-Beca” yang dipersembahkan oleh Tun Dr. Mohd Ali. Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa hampir dua jam bersama penduduk setempat bagi menyaksikan keindahan malam di Dataran Sanai.
Pelaksanaan Projek Kampung Warna-Warni Seberang Ramai ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi komuniti nelayan setempat, merancakkan pelancongan komuniti serta meningkatkan kualiti hidup penduduk sejajar dengan agenda pembangunan mampan Negeri Perlis.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia