MADINAH, 25 Dis — Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bersama Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, berkenan mengadakan pertemuan dengan Imam dan Khatib Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Muhsin Ibni Muhammad Al-Qasim, di Pejabat Pengurusan Masjid Haramain di perkarangan Masjid Nabawi, Madinah al-Munawwarah.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Sheikh Dr. Abdul Muhsin mengalu-alukan ziarah Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta seluruh usrah anakanda Baginda Berdua.
Dalam pertemuan tersebut, Sheikh Dr. Abdul Muhsin menyampaikan tausiyah agar umat Islam sentiasa berusaha menjadi hamba Allah yang soleh dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Beliau menegaskan bahawa insan soleh bukan sahaja memperoleh keredaan Allah SWT, malah sentiasa menggembirakan kedua-dua ibu bapa—dan setiap perbuatan yang menggembirakan ibu bapa termasuk dalam kebajikan yang besar nilainya di sisi agama.
Beliau turut menasihatkan agar umat Islam membiasakan diri membaca, memahami dan menghayati al-Quran, kerana mereka yang sentiasa bersama al-Quran tidak akan tersesat daripada jalan yang benar serta berada dalam lindungan dan petunjuk Ilahi. Selain itu, beliau berpesan supaya sentiasa memilih sahabat yang baik, kerana sahabat soleh akan menyokong, menegur dan mendorong ke arah kebaikan.
Sheikh Dr. Abdul Muhsin juga mempunyai hubungan erat dengan Negeri Perlis melalui kerjasama bersama MAIPs. Beliau pernah berkunjung ke Perlis pada 2014 dan melaksanakan siri majlis ilmu pada 2016 yang memberi impak besar kepada pengukuhan tradisi keilmuan Islam di negeri ini. Beliau turut memperkenalkan kaedah pengajian hafalan mutun al-Quran berteraskan teknologi terkini serta membantu pelaksanaan kursus dan latihan berkaitan kehakiman syariah di Perlis