Madinah al-Munawwarah, 27 Disember 2025 — Saban tahun terdapat kes jemaah yang terpedaya dengan tawaran tidak sah melibatkan agensi pelancongan tidak berlesen atau individu yang menjanjikan “Haji Tanpa Giliran”, sehingga mengakibatkan kerugian kewangan besar tanpa sebarang jaminan atau pampasan.
Selain itu, penyalahgunaan visa ziarah atau umrah dengan menetap melebihi tempoh dibenarkan sehingga musim haji merupakan pelanggaran serius undang-undang Arab Saudi dan boleh membawa kepada tindakan tegas termasuk penahanan serta sekatan kemasukan ke negara tersebut.
Demikian dimaklumkan dalam satu taklimat oleh Naib Konsul Haji Jeddah, Haji Affandi Abdullah, kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Taklimat berkenaan diadakan di Hotel Dar Taqwa, Madinah al-Munawwarah.
Taklimat tersebut disampaikan selepas Haji Affandi menerima sumbangan Tabung Ibnu Sabil MAIPs daripada Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang di-Pertua MAIPs, bagi pihak Pejabat Konsul Haji Jeddah, untuk tujuan membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Tanah Suci.
Mengiringi Baginda ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda-anakanda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah dan Hajah Sharifah Farah Adriana, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam sesi berasingan, Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan menerima mengadap Radin Adi Hilmi Radin Shamsudin, Konsul Haji Malaysia di Jeddah.
Mengulas lanjut, Haji Affandi memaklumkan bahawa kuota rasmi haji Malaysia yang diperuntukkan oleh Kerajaan Arab Saudi adalah seramai 31,600 jemaah sahaja bagi setiap musim.
Menurut beliau, majoriti bakal jemaah haji bagi musim 1447H / 2026M telah menerima surat tawaran serta menyelesaikan pemeriksaan kesihatan, dan kebiasaannya akan menunaikan haji sama ada melalui Muassasah Tabung Haji atau syarikat-syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diiktiraf oleh Lembaga Tabung Haji.