Warga MAIPs Sembah Ucapan Tahniah Kepada Raja Muda Perlis Sempena Ulang Tahun Keputeraan

MAIps

Kangar, 30 Disember — Seluruh warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merafakkan sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis, sempena ulang tahun keputeraan Baginda yang disambut pada 30 Disember.

Raja Muda Perlis disifatkan sebagai individu penting yang memainkan peranan besar dalam mencorakkan hala tuju dan transformasi MAIPs sejak hampir dua dekad lalu. Perkenan Baginda terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis pada tahun 2006 menjadi asas kukuh kepada pemerkasaan institusi agama negeri, seterusnya diperkukuhkan dengan pelaksanaan transformasi menyeluruh MAIPs bermula tahun 2011 yang memberi penekanan kepada tadbir urus berintegriti, pengurusan kewangan berakauntabiliti tinggi serta pendekatan kebajikan yang lebih strategik dan inklusif.

Demikian perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor dalam Siri Podcast “Salasilah Perlis” bertajuk ‘Tuanku Yang DiPertua Mengangkasakan MAIPs’ yang ditayangkan sempena Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Muda Perlis yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Haji Hazman Hassan.

Di bawah kepimpinan dan dukungan berterusan Raja Muda Perlis, MAIPs telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Antaranya termasuk penganugerahan Sijil Bersih Kewangan oleh Ketua Audit Negara secara konsisten dari tahun 2012 hingga kini, selain menerima Anugerah 5 Bintang Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara. MAIPs juga mencipta sejarah sebagai agensi Islam pertama di Malaysia yang dianugerahkan Standard SAGA oleh Jabatan Akauntan Negara.

Selain kecemerlangan tadbir urus, MAIPs turut diiktiraf atas inovasi sosial dan penglibatan komuniti apabila direkodkan dalam Malaysia Book of Records bagi pencapaian rekod kayuhan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbanyak menerusi inisiatif Kayuhan MAIPs Peduli. Usaha memperkasa budaya, pendidikan dan pembangunan lestari pula menyaksikan MAIPs menerima Anugerah Citra Budaya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Anugerah Khas MASTI oleh Kementerian Pengajian Tinggi, serta President’s Award oleh Malaysian Institute of Planners hasil kejayaan Projek DiRaja Transformasi Kampung Warna-warni Seberang Ramai.

Pengiktirafan antarabangsa turut diraih apabila MAIPs dianugerahkan “Acknowledged Flagship Project” RCE Awards 2024 melalui kerjasama RCE Greater Gombak (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di bawah naungan United Nations University bagi projek “Empower Perlis: Sustainable Growth for Asnaf Families”. MAIPs juga menerima pengiktirafan global apabila inisiatifnya didaftarkan dan diiktiraf dalam jurnal antarabangsa oleh International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies (IFRC).

Warga MAIPs menzahirkan rasa syukur serta menjunjung setinggi-tinggi penghargaan atas kepimpinan Raja Muda Perlis yang sentiasa menekankan prinsip kebijaksanaan, ihsan dan kemampanan dalam memacu agenda kebajikan umat serta pembangunan negeri. Sempena ulang tahun keputeraan ini, seluruh warga MAIPs mendoakan agar Baginda dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, keafiatan berterusan serta kebijaksanaan berterusan untuk terus memimpin usaha memakmurkan agama, negeri dan ummah Perlis.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.