Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Titah Ucapan Tahun Baharu 2026, Seru Rakyat Perlis Perkukuh Komitmen dan Integriti

Ucapan Tahun Baharu 2026

KANGAR, 1 Januari 2026 — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Masehi 2026 kepada seluruh rakyat negeri Perlis.

Baginda berdua menzahirkan keyakinan bahawa rakyat Perlis akan terus memberikan komitmen penuh terhadap segala perancangan yang telah disusun bagi tahun baharu ini, seterusnya dipertingkatkan ke tahap tertinggi melalui usaha yang lebih berintegriti, agresif dan berfokus.

Menurut titah Baginda, segala gerak kerja serta pelaksanaan amanah dan tanggungjawab sepanjang tahun 2025 wajar dijadikan pengajaran dan penanda aras penting, bagi memastikan setiap perancangan yang digariskan mempunyai keberkesanan, nilai tambah serta penambahbaikan yang lebih jitu, pantas dan berupaya membawa Perlis ke suatu tahap yang lebih membanggakan.

Demikian menurut kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang memetik titah Baginda berdua sebelum berangkat pulang ke tanah air selepas selamat menunaikan ibadah umrah, di Bilik Orang-Orang Kenamaan Altanfeethi, Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Arab Saudi, baru-baru ini.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Baginda, iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah, Hajah Sharifah Farah Adriana serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Duli-Duli Yang Teramat Mulia Tuanku beserta anakanda-anakanda ialah Ketua Canseleri Konsulat Malaysia di Jeddah, Anwar Abd Rahman; Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Radin Adi Hilmi Radin Shamsudin; serta Naib Konsul Haji, Haji Affandi Abdullah.

Pada kesempatan yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala doa kesejahteraan yang dititipkan kepada Baginda serta kerabat Diraja, selain ucapan selamat sempena ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-58 pada 30 Disember lalu, yang telah disampaikan melalui pelbagai medium dan tidak dapat dijawab satu persatu.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.