Enam Anak Muda Malaysia Berkhidmat di Menara Jam Makkah, Bukti Kepakaran Bertaraf Antarabangsa

Enam Anak Muda Malaysia Berkhidmat di Menara Jam Makkah, Bukti Kepakaran Bertaraf Antarabangsa

KANGAR, 4 Disember 2026 — Seramai enam anak muda Malaysia diberi kepercayaan berkhidmat sebagai jurutera dan juruteknik elektrik di Menara Jam Makkah, Arab Saudi, sekali gus membuktikan keupayaan serta kepakaran tenaga muda negara di peringkat antarabangsa.

Mereka ialah Mohamad Ile Shaffuan Ibrahim, Mohamad Nor Adha Abdul Karim, Akalil Aifaa Azmi, Ahmad Nasrunsyakir Mohd Noor, Muhammad Faiq Ashraff Abas dan Amirul Mukminin Md Yasin, yang merupakan antara individu terpilih untuk bertugas di mercu tanda ikonik Kota Makkah al-Mukarramah, tumpuan jutaan jemaah dari seluruh dunia.

Beberapa orang daripada mereka turut berpeluang menyambut keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenan melawat Menara Jam Makkah buat kali kedua ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), turut berangkat mengiringi Baginda berdua ialah anakanda-anakanda diraja, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pertemuan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan rasa bangga atas kesanggupan dan keberanian anak-anak muda Malaysia berkenaan menyahut cabaran serta mengambil peluang berbakti di kota suci Makkah Ummul Qura. Menurut Baginda, pencapaian itu bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah membuktikan kepakaran teknikal anak Malaysia mampu bersaing dan diterima di peringkat global.

Baginda turut bertitah bahawa kejayaan enam anak muda tersebut melengkapkan legasi kecemerlangan kepakaran Malaysia di Menara Jam Makkah, memandangkan sebelum ini seorang jurutera struktur Malaysia, Wan Nazri Wan Aria, terlibat secara langsung dalam pembinaan menara berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia bukan sahaja berperanan dalam operasi dan penyelenggaraan mercu tanda tersebut, malah turut menyumbang kepakaran pada peringkat pembinaan struktur ikonik dunia Islam,” titah Baginda.

Kesinambungan ini jelas menunjukkan bahawa tenaga mahir Malaysia berpotensi untuk “dieksport” ke luar negara, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan sejagat serta memperkukuh imej negara di mata dunia Islam dan antarabangsa.

Semangat Malaysia Boleh wajar terus disemai dalam kalangan anak muda negara agar mereka berani bermimpi besar, namun kekal berpijak di bumi nyata dengan menjadikan usaha, doa dan tawakal sebagai landasan utama dalam mengejar cita-cita dan impian.

(Foto: MAIPs)

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.