MAIPs Salur RM280,000 Perkukuh Pendidikan Islam Perlis

MAIPs Salur RM280,000 Perkukuh Pendidikan Islam Perlis

KANGAR, 9 Jan 2026 — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan pendidikan Islam di negeri ini apabila menyalurkan peruntukan berjumlah RM280,000 bagi Fasa 1 Tahun 2026 kepada dua institusi pendidikan agama.

Daripada jumlah tersebut, Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maad menerima peruntukan sebanyak RM80,000, manakala Sekolah Agama Al-Islahiyyah Menengah (SAIM), Behor Mali menerima RM200,000.

Majlis penyampaian sumbangan berkenaan disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua MAIPs. Turut berangkat ialah Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Waris Yang Kedua Negeri Perlis.

Penyerahan sumbangan itu dilaksanakan sempena Program Hijrah Minda Bilangan 2 Tahun 2026 anjuran MAIPs, sebelum keberangkatan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Perlis, bagi menunaikan solat Jumaat bersama anak kariah Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Jalan Kaki Bukit di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, berkata penyaluran dana tersebut merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh MAIPs bagi memastikan sekolah-sekolah agama di Perlis kekal kompetitif dan berdaya tahan.

“Sumbangan ini bertujuan menyokong keperluan pengurusan serta pembangunan prasarana kedua-dua sekolah. MAIPs sentiasa melihat institusi pendidikan Islam sebagai wadah utama melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki sahsiah unggul,” katanya.

Beliau menambah, pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan setiap peruntukan memberi impak maksimum kepada kebajikan pelajar dan keberkesanan perancangan tahunan sekolah, khususnya dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan holistik berteraskan nilai Islam.

Sumbangan bagi SMA Al-Maad diterima oleh Pengetuanya, Haji Idris Ahmad, manakala SAIM Behor Mali diwakili oleh Zulkifly Rahmat.

Langkah tersebut membuktikan peranan proaktif MAIPs dalam memastikan kelestarian institusi pendidikan Islam di Perlis agar terus relevan dalam mendepani cabaran pendidikan masa kini.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.