AI, Komputeran Cerdas Perluas Penerokaan Teknologi UniMAP

AI, Komputeran Cerdas Perluas Penerokaan Teknologi UniMAP

DA NANG, 8 Sept (Bernama) — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperluas identiti teknikalnya kepada bidang kecerdasan buatan (AI), sains data, kejuruteraan komputer dan sistem terbenam atau embedded system melalui pengukuhan bidang komputeran cerdas.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP bertitah pelancaran Fakulti Komputeran Cerdas pada tahun ini menandakan usaha universiti untuk memastikan kekuatan tradisional dalam kejuruteraan berkembang seiring teknologi digital masa hadapan.

“Bidang komputeran cerdas melengkapkan kekuatan sedia ada UniMAP dalam bidang elektrik dan elektronik, automasi serta sistem elektronik,” titah baginda sempena penutup edisi International Leadership Mobility (ILM) 2026 di sini, semalam.

Ad Banner
Ad Banner
Pada majlis tersebut baginda turut berkenan mempromosikan masakan Perlis iaitu kurma daging di Bharata Restaurant Ba Na Hills dan disambut oleh pengurus restoran, Prakash Pednekar.

Baginda bertitah AI dan data kini mempunyai aplikasi merentas industri, termasuk pembuatan, semikonduktor, logistik, tenaga, bandar pintar dan sistem autonomi.

“Justeru, penguasaan bidang ini memberi peluang kepada UniMAP menggabungkan kejuruteraan, pengkomputeran serta AI dalam pembangunan bakat dan penyelidikan.

Ad Banner
“Pendekatan AI juga tidak terhad kepada program khusus. UniMAP memberi perhatian kepada kefahaman AI dalam kalangan mahasiswa secara lebih meluas, termasuk elemen berkaitan penggunaan dan tanggungjawab dalam teknologi AI,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah universiti itu turut memperkukuh pedagogi digital dan pembelajaran imersif.

“UniMAP pernah muncul naib johan dalam dua kategori Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi (AKRI) 2025, iaitu Blended Learning Experience dan Face-to-Face Immersive Learning Experience.

“Kekuatan ini membolehkan UniMAP bergerak daripada identiti universiti teknikal konvensional kepada universiti yang menggabungkan kejuruteraan, teknologi, pengkomputeran dan AI,” titah baginda.

Baginda bertitah dengan industri semakin bergantung kepada automasi, data dan sistem pintar, pengembangan ini penting bagi memastikan graduan UniMAP kekal relevan dalam ekonomi digital dan teknologi masa hadapan.

Pada edisi ILM kali ini, delegasi UniMAP diketuai Tuanku Syed Faizuddin Putra dan turut disertai Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor 1 UniMAP.

Turut berangkat dua puteri baginda Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail merangkap Pro Canselor 2 UniMAP dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, diiringi Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP Prof Ir Ts Dr Shahriman Abu Bakar.

— BERNAMA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.