BUKIT KETERI, 10 Jan 2026 — Rejimen 504 Askar Wataniah menawarkan inisiatif latihan luar berteraskan pendidikan dan pembentukan sahsiah kepada pelajar sekolah menerusi program khas yang dilaksanakan di Kem Bukit Keteri, di sini, sebagai persediaan fizikal dan mental dalam menghadapi cabaran kehidupan sebenar.
Program berkenaan merangkumi dua modul teras iaitu Latihan Survival (Ikhtiar Hidup) dan Kem Jati Diri, yang memberi penekanan kepada kemahiran kelangsungan hidup serta pembinaan disiplin, ketahanan diri dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lasahi Laiji, berkata modul Latihan Survival melibatkan sepuluh komponen utama berfokus kepada kemahiran asas hidup di persekitaran hutan.
“Antara pengisian latihan termasuk keupayaan mengenal pasti sumber air, penggunaan bahan semula jadi untuk menghasilkan tali, kemahiran ikatan, pembinaan tempat perlindungan serta teknik navigasi menggunakan kompas dan petunjuk alam,” katanya.
Menurut beliau, latihan itu turut merangkumi asas bantuan kecemasan, kaedah pergerakan selamat di kawasan berbukit, pengurusan risiko serta pendedahan terhadap ancaman haiwan berbisa termasuk langkah awal sekiranya berlaku gigitan atau patukan.
Beliau berkata demikian sempena Pelancaran Promosi Latihan Survival Skill (Ikhtiar Hidup) dan Kem Jati Diri Rejimen 504 Askar Wataniah Bagi Tahun 2026 yang disempurnakan oleh anakanda-anakanda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Sempena program yang berlangsung di Survival Village kem berkenaan, ketiga-tiga anakanda Raja Muda Perlis yang turut berperanan sebagai kepimpinan rejimen itu tidak melepaskan peluang mendengar taklimat daripada pegawai dan anggota Rejimen 504 Askar Wataniah serta mencuba sendiri teknik dan langkah latihan yang dipraktikkan.
Penglibatan secara langsung itu bertujuan memberi pendedahan awal terhadap persediaan kendiri dalam menghadapi situasi kecemasan serta keadaan tidak dijangka.
Sebagai rekod, program berkenaan melibatkan penyertaan 42 buah sekolah dengan 3,276 pelajar pada tahun 2024, manakala pada tahun 2025, seramai 780 pelajar daripada tujuh buah sekolah telah mengikuti latihan ini sebagai sebahagian pengisian pembinaan jati diri dan persediaan menghadapi cabaran kehidupan.
Foto: Rejimen 504 Askar Wataniah
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia