‘Travel Vlogger” dari Switzerland sifatkan Kayuhan MAIPs Peduli satu inisiatif signifikan bersifat inklusif

‘Travel Vlogger” dari Switzerland sifatkan Kayuhan MAIPs Peduli satu inisiatif signifikan bersifat inklusif

Oleh: Sholina Osman
11 JAN. 2026

Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) disifatkan sebagai satu inisiatif signifikan yang bersifat inklusif, dekat di hati masyarakat, serta menzahirkan pendekatan mesra rakyat yang sarat dengan nilai kebersamaan dan keprihatinan sosial.

Penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menggalakkan amalan gaya hidup sihat, malah membuka ruang kepada para peserta untuk menikmati keindahan alam semula jadi yang menjadi antara daya tarikan utama Negeri Perlis.

Program kayuhan tersebut turut dilihat sebagai platform berkesan dalam merapatkan hubungan antara kepimpinan negeri, masyarakat setempat, di samping memperkukuh imej Perlis sebagai destinasi pelancongan berteraskan alam semula jadi, kesejahteraan serta semangat komuniti.

UNTUK TURUT SERTA

Perkara tersebut dizahirkan oleh ‘travel vlogger’ terkenal YouTube, ‘Moonshine and Lemongrass’, Yves Rechsteiner dari Basel, Switzerland yang berpeluang untuk turut serta dalam program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Kampung Changkat Jawi, Arau, yang diketuai sendiri oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat sama ialah puteri kedua Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Yves Rechsteiner yang pernah mengunjungi Perlis empat tahun lalu ketika Covid melanda dunia telah membuat belasan liputan Vlog mengenai negeri ini juga merasa kagum terhadap keindahan dan ketenangan Negeri Perlis.

SANGAT TENANG, DAMAI

“Negeri ini sangat tenang, damai dan memiliki suasana yang luar biasa,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan dalam program kayuhan mengiringi Tuanku Raja Muda tersebut memberikan pengalaman yang amat mengujakan serta mencerminkan keakraban hubungan antara institusi diraja negeri ini dengan rakyat.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga orang penerima asnaf terpilih iaitu Minah Hamid, 84, dari Kampung Telaga Haji Latif, Puteh L. Din, 77, dari Kampung Changkat Jawi, serta Ayob Mat Arif, 57, dari Kampung Padang Besar Kurung Anai. – JM

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.