Arau: Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM kini dimasyhurkan kepada nama Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Penamaan semula kedua-dua entiti yang berada dalam USM itu dimasyhurkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Pemasyhuran Penamaan Semula Dua Entiti Universiti Sains Malaysia USM di Istana Arau, di sini hari ini.
Baginda yang juga Canselor USM bertitah bahawa baginda sentiasa mengikuti dengan penuh perhatian, perjalanan dan kemajuan USM yang terus memainkan peranan penting sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul, berteraskan kecemerlangan ilmu, penyelidikan serta khidmat bakti kepada masyarakat.
“Sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia, penamaan semula sesebuah entiti institusi pendidikan tinggi bukan sekadar bersifat simbolik, bahkan ia mencerminkan amanah, penghargaan serta legasi yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.
“Dalam hal ini, saya berharap supaya universiti ini kekal berperanan sebagai institusi kemasyarakatan yang seimbang, yang menggabungkan kemajuan sains dan teknologi dengan nilai kemanusiaan, ihsan dan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” titahnya.
Baginda bertitah selepas memasyhurkan nama baru bagi kedua-dua entiti USM berkenaan, di Istana Arau, di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat menyaksikan pemasyhuran berkenaan adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Titahnya, pihaknya juga ingin merakamkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan tokoh negara yang banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan, kesihatan serta penyelidikan, khususnya di USM.
“Legasi kepimpinan dan khidmat bakti sedemikian wajar dikenang agar menjadi sumber inspirasi kepada generasi masa hadapan dan penamaan semula Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia kepada Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin adalah berasaskan cadangan daripada pengurusan tertinggi universiti sebagai tanda penghargaan terhadap peranan dan khidmat bakti saya selaku Canselor USM, di samping bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan saya sebagai Raja Negeri Perlis.
“Selain itu, penamaan semula entiti kedua iaitu Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser Universiti Sains Malaysia, yang sebelum ini dikenali sebagai Institut Perubatan dan Pergigian Termaju kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa serta legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Allahyarham banyak memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan agenda kanser, kesihatan awam dan penyelidikan perubatan bertaraf tinggi, serta memberi sumbangan besar kepada pembangunan institusi ini,” titahnya.
Baginda bertitah bahawa Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal banyak memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan kawasan itu.
“Malah, Allahyarham juga sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penubuhan dan perkembangan institusi ini sebagai pusat perubatan dan pergigian termaju di utara Semenanjung Malaysia.
“Saya amat berharap agar kedua-dua entiti yang bakal dimasyhurkan pada hari ini akan terus memperkukuhkan peranan USM sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan penyelidikan, serta memberi manfaat yang berterusan kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara,” titahnya.
Terdahulu, baginda menandatangani plak pemasyhuran sebagai penamaan semula nama baru bagi kedua-dua entiti USM berkenaan.
Turut hadir adalah Naib Canselor USM, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed, balu Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Jeanne Abdullah, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin serta pengurusan tertinggi USM.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia