KRABI (Thailand), 23 Januari — DYTM Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Kepimpinan Wilayah Krabi yang berlangsung di Krabi Resort Hotel, Tambon Ao Nang, Daerah Mueang Krabi, di sini malam ini.
Majlis yang bermula pada jam 7 malam itu dianjurkan sebagai platform mengukuhkan hubungan dua hala antara Negeri Perlis dan Wilayah Krabi, khususnya dalam aspek pelancongan, perdagangan, pendidikan, hal ehwal agama serta kerjasama serantau.
Ketibaan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis disambut oleh Gabenor Wilayah Krabi, His Excellency Angkoon Seelatewakul, bersama isteri beliau, Mrs. Sarinthip Seelatewakul, yang juga Yang Dipertua Persatuan Bulan Sabit Merah Wilayah Krabi.
Turut hadir ialah Kolonel Pratharn Talapthong, Timbalan Pengarah Operasi Internal Security Operations Command (ISOC) Wilayah Krabi; Kolonel Polis Pratheung Phonmana, Timbalan Ketua Polis Wilayah Krabi; serta Chuan Phukaoluan, Penasihat Dewan Pendidikan Wilayah Krabi merangkap pemilik Krabi Resort dan Sriphong Farm, bersama isteri beliau Mrs. Suphawan Akha-i.
Sektor perniagaan Wilayah Krabi turut diwakili oleh Ekkaphong Chokchaivitat, Pengerusi Dewan Perniagaan Wilayah Krabi.
Pada majlis berkenaan, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis turut bertitah menyentuh potensi kerjasama strategik antara Perlis dan Krabi yang bersifat saling melengkapi, termasuk pembangunan pelancongan dua negara satu perjalanan, pertukaran pendidikan, platform perdagangan usahawan serta kerjasama hal ehwal Islam dan keselamatan makanan.
Sebagai simbol diplomasi budaya dan persahabatan, para tetamu turut dihidangkan dengan kurma daging Perlis, hidangan tradisi negeri Perlis yang mencerminkan warisan kulinari tempatan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia