Bukit Keteri, 29 Januari 2026 – Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat tapak Projek Pembangunan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Rejimen 504 Askar Wataniah, Kem Bukit Keteri, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Cawangan Tadbir, Leftenan Kolonel Mohamad Shaffar Mat Saad@Yatim, Ketua Cawangan Latih, Mejar Ahmad Fauzi Johari, serta Pegawai Staf 2 Pelaksanaan 922 Detasmen UPKAT, Mejar Nurul Afiqah Azmi.
Dalam sesi taklimat kepada Tuanku Raja Muda selaku Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Ketua Detasmen 922 Detasmen UPKAT, Leftenan Kolonel Mohammad Amri Datuk Haji Khairuddin memaklumkan bahawa projek pembangunan fasa pertama kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 8 April 2026.
Menurut beliau, kemasukan peserta PLKN 3.0 ke kem berkenaan dijangka bermula pada pertengahan atau hujung April 2026, sejurus projek fasa pertama disiapkan.
Skop pembangunan melibatkan penyediaan penginapan, kemudahan sokongan, infrastruktur asas, serta kemudahan ibadah dan rekreasi, yang keseluruhannya dirangka bagi menyokong konsep latihan “Latih Untuk Perang” secara lebih berkesan, sistematik dan berstruktur.
Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan latihan serta tahap keselesaan anggota, sekali gus menyokong matlamat PLKN 3.0 dalam melahirkan generasi pelatih yang berdisiplin, berdaya tahan dan berdaya saing.
Selain itu, penyediaan fasiliti moden yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini turut berpotensi menarik penyertaan, khususnya golongan profesional di Negeri Perlis, untuk menyertai Askar Wataniah, selaras dengan penambahbaikan kemudahan dan sistem latihan yang lebih terkini.
Kemasukan peserta PLKN ke Kem Bukit Keteri juga dijangka memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi masyarakat setempat, khususnya melalui peningkatan aktiviti sokongan dan perkhidmatan di sekitar kawasan berkenaan.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia