KANGAR, 31 Januari 2026 – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa penglibatan sektor swasta menerusi program Pemberdayaan Komuniti amat penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan usahawan mikro.
Menurut Baginda, inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi setempat, malah menyumbang secara langsung ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan mampan.
“Komitmen berterusan sektor swasta, khususnya UEM Group melalui sayap kebajikannya, Yayasan UEM, terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan negeri Perlis menerusi pelaksanaan inisiatif jangka panjang berteraskan pendidikan serta pemerkasaan pembangunan dan sosioekonomi usahawan mikro tempatan,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Program Yayasan UEM di Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Warisan, di sini.
Dalam ucapannya, Aishah Nor memaklumkan bahawa bermula tahun 2025, UEM Group menerusi Yayasan UEM telah memulakan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat lebih mampan dan berimpak jangka panjang di negeri Perlis, dengan sektor pendidikan sebagai antara fokus utama.
Beliau berkata, meskipun pengurusan pendidikan di Perlis berada pada tahap yang baik, sokongan tambahan daripada sektor swasta diyakini mampu memberi nilai tambah yang signifikan kepada pencapaian pelajar.
Sehubungan itu, Yayasan UEM telah melaksanakan Program Tuisyen SPM serta Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun lalu dengan peruntukan tajaan berjumlah RM350,000, sekali gus memberi manfaat kepada 860 orang pelajar di negeri ini.
Tahun 2025 turut menyaksikan peluasan Program Pembangunan Usahawan Yayasan UEM ke negeri Perlis yang dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) serta Universiti Utara Malaysia (UUM).
Seramai 15 orang usahawan mikro daripada golongan B40 telah dipilih menyertai program selama dua tahun itu yang merangkumi bantuan berbentuk barangan serta bimbingan latihan, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250,000.
Pada hari yang sama, Yayasan UEM turut menganjurkan Program Back-to-School melibatkan 150 orang pelajar yang memerlukan, selain bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mengenal pasti 150 orang asnaf untuk menerima agihan bantuan Ramadan.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan simbolik penyampaian barangan kembali ke sekolah kepada 15 orang pelajar, serta penyampaian sumbangan Yayasan UEM berjumlah RM50,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diterima oleh Setiausaha Kehormatnya, Datuk Johari Mohd Darus.
Baginda juga berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan bantuan daripada MAIPs berjumlah RM105,000, selain sumbangan Yayasan UEM berupa wang tunai RM150 dan kotak makanan kepada setiap penerima, melibatkan 150 orang asnaf terpilih.
Setiap penerima turut menerima bantuan wang tunai RM700 daripada MAIPs, terdiri daripada 75 orang anak kariah Behor Empiang dan 75 orang anak kariah Alwi, Kangar.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Tarikh kemaskini: 2/2/2026